Sabtu, 10 November 2018 | 12:06am
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu - Foto MUHAIZAN YAHYA

Jasamu dikenang Hasnul - MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan sepenuhnya pengendalian Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kepada pengurusan sedia ada persatuan itu selepas presidennya meletak jawatan semalam.

Beliau percaya, PAFA sebagai sebuah persatuan mempunyai peruntukan perlembagaan persatuan untuk meneruskan operasi persatuan itu walaupun selepas ketiadaan presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

“Keputusan beliau (Hasnul) untuk meletakkan jawatan adalah satu keputusan yang saya kesali kerana beliau sudah menjalankan tanggungjawab dengan begitu baik.

“Namun mungkin kerana menghormati pandangan orang ramai dan kesal dengan kesilapan kecil yang dilakukan menyebabkan beliau membuat keputusan yang besar bagi menjanjikan pasukan Perak lebih berjaya di masa akan datang,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh (IIFW) di sini malam ini.

Berangkat hadir pada majlis berkenaan adalah Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Pada majlis berkenaan isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohd Radzi yang juga penasihat IIFW turut memberi ucapan.

Ahmad Faizal berkata, dengan pengumuman peletakan jawatan Hasnul itu, kerajaan negeri mengucapkan penghargaan tertinggi kepada beliau atas segala jasa baktinya membawa pasukan Perak hingga berjaya memenangi Piala Malaysia 2018.

Sementara itu bercakap mengenai cadangan penyokong agar beliau menerajui PAFA sebagai presiden baharu, Ahmad Faizal berkata perkara itu Masih terlalu awal untuk diputuskan.

“Mengenai cadangan beberapa kelab penyokong untuk saya memegang jawatan presiden PAFA, pada saya buat masa ini kita lebih memikirkan tentang bagaimana kita nak raikan kejayaan memenangi Piala Malaysia bersama rakyat dan dan penyokong.

“Saya fikir terlalu awal bagi saya untuk beri pandangan tentang siapa yang akan ambil alih kerusi presiden PAFA namun saya juga yakin barisan EXCO dan barisan jawatankuasa (PAFA) yang ada tentunya mampu menggalas tanggungjawab persatuan buat masa ini,” katanya.

1342 dibaca
Berita Harian X