Jumaat, 9 November 2018 | 9:39pm
PEMAIN Malaysia meraikan kejayaan layak ke final selepas menewaskan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan Kejohanan Futsal AFF 2018 di Yogyakarta, sebentar tadi.

Malaysia ke final Futsal AFF

KUALA LUMPUR: Skuad futsal negara mengharungi aksi separuh akhir penuh mendebarkan sebelum meraih kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 bertemu Vietnam pada aksi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 di Yogyakarta, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad negara mara ke final bertemu juara bertahan, Thailand sekali gus mengulangi pentas akhir kejuaraan sama pada edisi tahun lalu.

Mungkin ini detik terbaik buat anak buah Chiew Chun Yong menebus kekecewaan edisi lalu yang menyaksikan mereka tumbang 4-3 di tangan lawan selepas masa tambahan.

Pada aksi terbabit, Malaysia mendahului menerusi penyudah Azwann Ismail pada babak pertama sebelum Azri Rahman membolehkan skuad negara mendahului dengan 2-0 pada permulaan babak kedua.

Malaysia dilihat lebih banyak bertahan sehingga membenarkan Vietnam menguasai sebahagian besar permainan dan kerap mengasak kubu negara untuk mencari gol pembukaan.

Ketinggalan 2-0, semangat juang Vietnam nyata sukar digugat dan gol pembukaan yang dicari berjaya disumbangkan Vu Quoc Hung untuk mengurangkan defisit gol.

Ketika skuad negara berada di ambang kemenangan dengan aksi berbaki 20 saat, taktikal ‘power play’ yang digunakan Vietnam pada lima minit terakhir membuahkan hasil apabila percubaan Nguyen Thanh Tin menerjah gawang untuk memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Namun, tiada jaringan dihasilkan dalam 10 minit masa tambahan dan kemenangan perlu ditentukan menerusi sepakan penalti penentuan.

Aksi final akan berlangsung di Yogyakarta, Ahad ini.

4106 dibaca
Berita Harian X