Jumaat, 9 November 2018 | 6:54pm
SHAKIR Hamzah

Shakir Hamzah dalam radar Kedah

ALOR SETAR: Pemain pertahanan Home United dan skuad kebangsaan Singapura Muhammad Shakir Hamzah dikhabarkan mendapat tawaran daripada bekas juara Piala Malaysia Kedah untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Berita mengenai tawaran berkenaan tersebar selepas sebuah akhbar dalam talian Singapura melaporkan bekas pemain Tampines Rovers yang kini bersama pasukan Home United berusia 26 tahun itu mendapat lamaran kontrak selama setahun bersama pasukan Lang Merah.

Bagaimanapun usaha mendapatkan maklumat lanjut berkenaan berita kontrak pemain yang memiliki 43 kap bersama skuad kebangsaan Singapura itu gagal ekoran tiada maklumat lanjut daripada pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Difahamkan bakal jurulatih Kedah kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak kini sedang mengintai serta menguruskan kemasukan pemain import baharu ke dalam pasukan Kedah.

Terdahulu KFA sudah memaklumkan kontrak kesemua lima import Kedah musim ini - Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Alvaro Silva, Andik Vermansah dan Paulo Rangel tidak disambung.

Dalam kenyataan terkini, pihak KFA masih dalam proses perbincangan fasa akhir mengikat pemain import musim baharu dan akan mengumumkan status pemain hanya selepas kontrak dimeterai. 

Turut dimaklumkan hanya lima pemain tempatan masih mempunyai kontrak hingga tahun 2019 – Ifwat Akmal Che Kassim, Amirul Hisyam Awang Kechik, Muhd Akhyar Rashid, Muhd Farhan Abu Bakar dan Syawal Nordin. 

Manakala pemain tempatan lain dimaklumkan masih mempunyai kontrak hingga hujung November ini dan pihak KFA masih dalam perbincangan berkaitan lanjutan kontrak dan tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.

1947 dibaca
Berita Harian X