Jumaat, 9 November 2018 | 6:42pm

Pemain rayu kerajaan negeri ambil alih TCFC

KUALA TERENGGANU: Enggan melihat kelab Terengganu City FC (TCFC) menerima nasib serupa seperti Marcerra Kuantan FA yang terpaksa menarik diri daripada Liga Malaysia, pemain pasukan itu merayu kerajaan negeri mengambil alih pengurusan skuad dikenali The Sharks itu dengan segera.

Selain itu, pemain skuad juara Piala FAM berkenaan mengharapkan kerajaan negeri campur tangan berhubung tunggakan gaji mereka termasuk jurulatih yang sudah memasuki antara empat hingga enam bulan.

Pemain senior TCFC Shafuan Adli Shaari berkata, dia bersama rakan sepasukan sudah hilang sabar dengan sikap pihak pengurusan skuad itu yang melayan mereka ibarat 'habis madu sepah dibuang'.

"Kami muncul juara Piala FAM dan layak ke Liga Perdana musim depan selepas bertungkus-lumus di dalam padang, tapi pelik gaji dan bonus kami semua tidak dibayar bermula Julai,” kata Shafuan yang sudah menyerahkan surat rayuan kepada kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

"Dengan tiada sumber pendapatan lain, bagaimana mahu meneruskan kelangsungan hidup kerana sudah empat bulan gaji tidak dibayar, malah ada antara kami meraih simpati daripada rakan dan sanak saudara.

"Lebih sedih ada antara kami yang kenderaan mereka ditarik pihak bank dan terpaksa menumpang di rumah saudara serta ibu bapa kerana tidak mampu membayar sewa rumah. 

"Gaji kami tidaklah besar namun sikap tidak bertanggungjawab pengurusan skuad membuatkan kami merana. Justeru kami merayu kerajaan negeri ambil alih skuad ini serta campur tangan isu gaji bagi mengelak imej negeri tercalar selain berasa rugi jika skuad itu menarik diri daripada beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan."

Semalam Sukan NSTP melaporkan jurulatih skuad itu mendedahkan mereka dilayan bagaikan 'kain buruk' selain gaji mereka serta pemain tidak dibayar sejak enam bulan lalu.

652 dibaca
Berita Harian X