Jumaat, 9 November 2018 | 4:53pm
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail. - Foto Mohd Azren Jamaludin

TMJ beri pandangan situasi FAS

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bimbang wujud individu dan ‘permainan’ bagi mengambil kesempatan terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam entri di laman Twitter rasminya, Tunku Ismail yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), berharap Tengku Amir mendapatkan nasihat dan pandangan daripada orang yang betul, antaranya Menteri Besar Selangor.

“Dalam kes FAS, saya tahu banyak jerung yang mahu ambil kesempatan terhadap duit kerajaan negeri Selangor. Satu-satunya yang saya bimbangkan ialah RMS (Raja Muda Selangor) tidak sedar permainan dan individu yang mengambil kesempatan terhadap beliau.

“Dalam JDT (Johor Darul Ta’zim) tiada yang berjalan tanpa kebenaran saya. Di JDT saya ada kuasa mutlak. Saya terbabit dalam semua perkara dan saya tidak benarkan sesiapa pandai-pandai, terutama sekali membenarkan orang mengambil kesempatan terhadap kelab.

“Nasihat saya terhadap RMS adalah mendapatkan nasihat daripada orang yang betul, bukan daripada mereka yang tiba-tiba muncul selepas perubahan Presiden berlaku,” katanya.

Tunku Ismail berkata, beliau berharap Tengku Amir dapat mempelajari daripada kesilapan yang beliau pernah buat, iaitu mengambil orang yang salah untuk bekerja dengannya.

“Saya harap RMS dapat belajar daripada kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini, iaitu mengambil orang yang salah, namun mujur saya belajar dengan cepat dan saya harap RMS dapat lakukan seperti itu juga kerana mengambil individu yang tepat adalah amat penting,” katanya.

Terbaharu, Tengku Amir tidak mengiktiraf keputusan Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu yang berlangsung di hotel di Seri Kembangan, malam tadi.

Tengku Amir menjelaskan pemilihannya sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ berkenaan juga dilakukan tanpa persetujuan beliau.

Berikutan itu, RMS berkata, beberapa memo sudah diedarkan Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan ‘perjumpaan’ berkenaan.

2664 dibaca
Berita Harian X