Jumaat, 9 November 2018 | 4:19pm
MFL sudah mengakui silap membabitkan trofi ini.

Hentikan isu trofi Kasut Emas - Yusoff

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Yusoff Mahadi berharap isu trofi anugerah Kasut Emas yang menjadi kecaman banyak pihak tidak terus diperbesar-besarkan.

Beliau berkata, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menjadi penganjur kepada Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang berlangsung pada Isnin lalu juga tidak harus terus dipersalahkan atas kesilapan itu.

"Saya melihat isu ini tidak perlu diperbesarkan, memang MFL sudah mengakui silap membabitkan trofi itu seperti yang diperkatakan Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Mereka kesal dengan apa yang berlaku tapi bukan sesuatu yang disengajakan.

“Malah MFL segera mengambil langkah untuk mengatasi isu itu dengan memberi jaminan trofi itu akan digantikan semula. Ini juga bakal menjadi pengajaran kepada pihak pengurusan MFL supaya lebih berhati-hati dalam memastikan ABK terus diangkat sebagai anugerah paling berprestij bola sepak tanah air," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Kontroversi berlaku apabila ramai pihak khususnya penyokong tempatan mengecam trofi bersaiz tapak tangan yang diraih penjaring terbanyak Liga Super dari Selangor, Rufino Segovia (pemain import) dan penyerang Kelantan, Shafiq Shahrudin (pemain tempatan) yang dikatakan tidak memiliki kualiti seperti musim sebelumnya.

Malah Tunku Ismail sendiri turut meluahkan rasa kecewanya dengan trofi itu dan mahukan pegawai yang menguruskan trofi itu bertanggungjawab sepenuhnya.

Susulan kritikan itu, MFL tampil memohon maaf kepada semua pemenang dan komuniti bola sepak Malaysia atas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL itu serta berjanji akan menggantikan semula trofi berkenaan kepada pemenang.

Yusoff yang turut hadir untuk menyampaikan anugerah pada majlis berkenaan berkata, kesilapan itu tidak seharusnya menjadi modal untuk mengecam MFL yang berjaya menguruskan Liga Malaysia (Liga-M) dengan baik musim ini.

"Jangan kerana kesilapan itu kita lupakan usaha keras MFL dalam menaikkan liga kita sepanjang musim ini. Mereka menguruskan perjalanan liga dengan lebih tersusun, meningkatkan hak penajaan serta penyiaran jadi kita harus sama-sama bergerak ke depan dalam memajukan liga bola sepak kita," katanya.

1659 dibaca
Berita Harian X