Jumaat, 9 November 2018 | 12:49pm
Juan Mata. - Foto Reuters

Masa depan Mata masih samar

LONDON: Masa depan Juan Mata di Old Trafford masih samar meskipun dua kali menyelamatkan Manchester United daripada situasi sukar dalam tempoh sebulan.

Gol hasil sepakan percuma Mata mencetus kebangkitan United pada lewat perlawanan menentang Juventus dalam Liga Juara-Juara, awal pagi semalam sebelum skuad kendalian Jose Mourinho menang 2-1 di Turin.

Ia situasi hampir sama dilakukan pemain Sepanyol itu bulan lalu ketika United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengalahkan Newcastle 3-2 dan mengelakkan krisis yang semakin meningkat di kelab itu.

Bagaimanapun, difahamkan Mata masih menunggu tawaran kontrak baharu selepas hanya tinggal kira-kira lapan bulan lagi sebelum perjanjian dengan gaji seminggu £140,000 (RM763,000) akan berakhir.

United menyediakan pilihan 12 bulan kontrak Mata pada awal tahun ini, tetapi pemain yang dibeli dengan harga £37.1 juta (RM202 juta) pada 2014 itu menjadi ejen bebas pada musim panas dan boleh berbincang dengan kelab lain pada Januari.

Mata dipercayai lebih berminat untuk melanjutkan kontraknya di Old Trafford, tetapi akan berusaha untuk kekal di Liga Perdana jika United tidak menawarkannya perjanjian baharu.

Pemain berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan bos lamanya di Valencia, Unai Emery yang kini membimbing Arsenal dan menerima beberapa tawaran dari Sepanyol.

Mata salah seorang pemain United yang mempunyai hubungan kurang baik dengan Mourinho dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Malah, difahamkan dia tidak gembira selepas dijadikan ‘korban’ apabila dikeluarkan bagi memberi laluan kepada penjaga gol Lee Grant selepas Sergio Romero dibuang padang ketika mereka tewas kepada Derby dalam saingan Piala Liga.

Namun dia berada dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan selepas menjaringkan gol ketika menentang Newcastle pada 6 Oktober lalu dan memberi impak besar dengan sepakan percuma menarik semasa menentang Juve di Stadium Allianz.

Mata mendedahkan dia meminta kebenaran daripada kapten United, Ashley Young untuk mengambil sepakan percuma itu yang mengelirukan penjaga gol Wojciech Szczesny.

“Selepas kami mendapat sepakan percuma, saya yakin saya mampu menyempurnakannya,” katanya.

“Saya memaklumkan kepada Ash ‘tolong bagi saya melakukannya, kerana saya boleh melepasi benteng’. Ia sangat sukar untuk penjaga gol mereka melihat bola.

“Saya fikir dengan situasi gelanggang dan perlawanan penting, ia salah satu yang terbaik (jaringan saya).” - Agensi

794 dibaca
Berita Harian X