Jumaat, 9 November 2018 | 12:43pm
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

Pochettino tetap sayang Spurs

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyatakan komitmennya terhadap kelab Liga Perdana Inggeris itu dan menafikan spekulasi mengaitkannya berpindah ke Real Madrid.

Real memecat jurulatih, Julen Lopetegui 10 hari lalu dan kenyataan Pochettino baru-baru ini apabila mengakui beliau mengalami perasaan terburuk sepanjang empat setengah tahun di Spurs menimbulkan spekulasi beliau akan berpindah ke Sepanyol.

Bagaimanapun, pengendali dari Argentina itu menegaskan beliau tidak berminat untuk menyertai Real dan cuba menghilangkan tanggapan beliau tidak berpuas hati dengan penangguhan bagi menyiapkan stadium baru Spurs.

“Penyokong kami perlu tahu fokus saya adalah Spurs, saya bekerja keras untuk membantu kelab ini mencapai apa yang kami mahukan.

“Spekulasi sentiasa berlaku, bukan saja di Spurs, tapi semua pasukan dan anda tidak boleh lakukan apa-apa,” kata Pochettino pada sidang media menjelang pertemuan dengan Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok.

Pengurus itu berkata, pasukan kendaliannya bertuah kerana dibenarkan bermain di Stadium Wembley sebagai tempat mereka sendiri sementara menunggu stadium baharu kelab itu siap sepenuhnya.

Spurs pada awalnya dijadual berpindah ke stadium baharu yang mempunyai 62,000 tempat duduk tahun ini tetapi ia terpaksa ditangguhkan hingga tahun depan tanpa sebarang tarikh rasmi diumumkan.

“Kami patut bersyukur dapat bermain di Wembley kerana jika tidak, di mana kami akan bermain? Saya fikir kami bertuah masih dapat beraksi di London, berdekatan dengan White Hart Lane selain tempat latihan kami,” katanya. – AFP

505 dibaca
Berita Harian X