Jumaat, 9 November 2018 | 12:40pm
TONGGAK pertahanan, Andy Robertson. - Foto Reuters

Robertson gesa Reds bangkit

LONDON: Tonggak pertahanan, Andy Robertson yakin Liverpool mampu bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Red Star Belgrade dalam saingan Liga Juara-Juara, namun mengakui skuad itu perlu mencari ‘sentuhan cemerlang’ mereka untuk kembali di landasan tepat.

Selepas meraih tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, pengurus Juergen Klopp berkata, pemainnya bergelut untuk mendominasi musim ini, sesuatu yang dipersetujui Robertson.

“Musim lalu setiap orang sudah biasa melihat kami menjaringkan empat atau lima gol,” kata Robertson kepada media Britain. “Ia tidak mungkin bagi setiap perlawanan.

“Ada masanya kami meraih keputusan (positif), apatah lagi dalam Liga Perdana musim ini. Mungkin ia tidak begitu bagus untuk ditonton tapi kami tetap efektif.

“Mungkin kami kehilangan sedikit sentuhan dari segi tidak memenangi perlawanan dengan 4-0 atau 5-0 dalam kebanyakan permainan tapi jika beliau (Klopp) berfikir begitu, maka kami perlu cuba mendapatkannya kembali.”

Kekalahan 0-2 di tangan kelab Serbia, awal pagi kelmarin bermakna Liverpool perlu menang ke atas Paris St-Germain atau Napoli untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Robertson bagaimanapun percaya Liverpool boleh melakukan tugas dengan baik di Paris pada 28 November depan walaupun tewas tiga aksi terakhir di tempat lawan sepanjang pertandingan kelab elit Eropah.

“Ia satu kumpulan yang sukar dan ia akan hanya ditentukan pada hari terakhir,” katanya. “Kami masih yakin mampu layak ke pusingan seterusnya dan kami perlu buktikan sekarang.

“Boleh dikatakan kami perlu berdepan pasukan terbaik dan kami wajib mempamerkan prestasi lebih baik daripada yang dilakukan setakat ini.” - Reuters

649 dibaca
Berita Harian X