Rabu, 7 November 2018 | 5:11pm
KUALA LUMPUR 02 OKTOBER 2018. Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe ketika sidang media perlawanan persahabatan diantara Malaysia dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/SADDAM YUSOFF

Cheng Hoe harap Harimau Malaya tak 'tenggelam'

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Tan Cheng Hoe menuntut semangat juang tinggi anak buahnya andai tidak mahu 'tenggelam' dalam sorakan padu 50,000 penyokong Kemboja yang dijangka membanjiri Stadium Olimpik Phnom Penh pada aksi pembukaan Kumpulan A saingan Piala AFF malam esok.

Skuad Harimau Malaya sudah merasai tekanan beraksi di stadium itu apabila mereka terpaksa bangkit selepas ketinggalan satu gol sebelum menang 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa 10 September lalu.

"Saya harap semua pemain dapat mempamerkan semangat berpasukan dan juang yang tinggi kerana bukan mudah untuk kita bertandang ke stadium ini apatah lagi dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

"Saya akui kehadiran puluhan ribu penyokong Kemboja ditambah dengan harapan tinggi penyokong di Malaysia, pasti akan memberi tekanan kepada pemain tetapi saya harap mereka bijak mengatasinya. 

“Memang kami datang untuk mendapatkan keputusan positif, kita tahu Kemboja bermain baik walaupun tidak mencatat kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Saya berharap pemain sudah bersedia untuk mengatasi tekanan," kata Cheng Hoe dalam sidang media praperlawanan hari ini.

Kali terakhir Malaysia bertemu Kemboja pada saingan Piala AFF 2016 dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan pertama Kumpulan B namun kedua-dua pasukan tersingkir awal apabila menamatkan kempen di tangga ketiga dan keempat.

Cheng Hoe yang pernah menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal ketika Malaysia menjulang trofi pertama dan terakhir Piala AFF 2010 di Jakarta percaya semua pemain sudah bersedia walaupun membariskan 10 pemain baharu.

"Saya gembira kerana ini Piala AFF pertama saya sebagai jurulatih, apa yang penting semua pemain dalam keadaan terbaik untuk beraksi esok. Ia bukan perlawanan mudah tapi kami sudah bersedia.

"Perlawanan pada September lalu hanya perlawanan persahabatan, esok perlawanan kompetitif. Ada beberapa muka baharu dalam pasukan termasuk (Mohamadou) Sumareh yang sudah memberikan impak bagus dalam tiga perlawanan sebelum ini dan saya harap dia dapat menunjukkan permainan bagus dan bermain dalam satu pasukan.

"Safawi (Rasid) baru menerima anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia dan pastinya dia bermotivasi tinggi untuk beraksi," katanya.

Berdasarkan format pertandingan baharu tanpa tuan rumah, Malaysia akan berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 12 November ini selepas pulang dari Phnom Penh, disusuli Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di SNBJ (24 November).

Manakala saingan Kumpulan B membabitkan juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor Leste.

582 dibaca
Berita Harian X