Selasa, 6 November 2018 | 3:48pm
SKUAD Kebangsaan akan berlepas ke Phnom Penh, Cambodia bagi menghadapi perlawanan pertama Piala Suzuki AFF 2018 bertemu Cambodia dan turut bersama pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

'Pilih jalan mudah'

SEPANG: Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya supaya tidak mencari jalan susah untuk memburu kemenangan pertama dalam kempen Piala AFF bertemu Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh Khamis ini.

Dalam pertemuan terakhir pada aksi persahabatan 10 September lalu, skuad Harimau Malaya bergelut untuk mencari rentak beraksi di atas padang rumput tiruan dan terpaksa bangkit pada separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan 3-1.

Cheng Hoe yang berlepas ke Phnom Penh bersama 23 pemain hari ini percaya, saingan lebih sukar bakal ditempuhi mereka apabila turun berdepan skuad kendalian bekas bintang Jepun Keisuke Honda itu.

"Kita sudah bertemu dengan Kemboja sebelum ini, yang penting pemain sudah mempunyai pengalaman bermain di padang sintetik itu. Saya mengingatkan kepada pemain bahawa perlawanan kali ini berbeza di mana ia akan menguji mental dan fizikal pemain.

"Kemboja pasti lebih bersedia kali ini kerana sebelum ini mereka hanya baru berlatih dengan jurulatih baharu. Perlawanan pertama bukan mudah untuk mana-mana pasukan apatah lagi stadium bakal dipenuhi penyokong tuan rumah nanti.

"Saya mahu pemain fokus dan tidak tertekan dengan melakukan kesilapan yang boleh meletakkan pasukan dalam situasi sukar," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Malaysia turun dalam misi memburu kejuaraan pertama selepas 2010 dengan pencapaian terbaik selepas itu adalah pada 2014 di mana skuad negara mara ke final sebelum tumpas kepada Thailand menerusi agregat 4-3.

Jika melihat kepada saingan Kumpulan A, Vietnam dan Myanmar dianggap pencabar terkuat manakala Kemboja dan Laos boleh menjadi pengacau kepada laluan skuad negara ke separuh akhir.

Cheng Hoe yang menjadi penolong kepada Datuk K Rajagobal ketika menjulang trofi di Jakarta, Indonesia lapan tahun lalu percaya beliau memiliki skuad terbaik untuk merealisasikan misi itu meskipun menggugurkan Nor Azam Azih yang dilabel antara pemain tengah terbaik negara ketika ini akibat kecederaan.

"Semua pemain dalam keadaan terbaik dan yang paling penting semua 23 pemain tidak cedera dan sudah bersedia untuk beraksi. Saya sudah ada bayangan kesebelasan utama, cuma hari-hari terakhir ini saya akan terus menilai prestasi pemain jika perlu melakukan perubahan.”

Berdasarkan format baharu pertandingan tanpa tuan rumah, Malaysia akan berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 12 November ini selepas pulang dari Phnom Penh, disusuli Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di SNBJ (24 November).

Saingan Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor Leste.

75 dibaca
Berita Harian X