Ahad, 4 November 2018 | 10:04pm
PRESIDEN PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim. - FB Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim

Hasnul tak hirau desakan, terus pertahan jawatan

 

PARIT BUNTAR: "Saya tidak akan berganjak dengan desakan dan tetap pertahan jawatan sedia ada".

Demikian kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengenai desakan penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang mahukan beliau melepaskan jawatan susulan kontroversi Piala Malaysia yang mencetuskan kemarahan ramai pihak. 

Menurutnya, beliau tidak akan mengalah dengan desakan itu kerana sudah mempunyai banyak perancangan bagi meneruskan kesinambungan kejayaan Perak pada masa depan. 

"Saya sekali lagi mohon maaf atas kontroversi yang berlaku baru-baru ini, dan mengaku ia disebabkan kekhilafan diri dan tidak cukup matang untuk mengawal keterujaan diri dalam meraikan kemenangan Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu. 

"Saya tidak menolak kemungkinan serangan berbentuk kecaman berterusan dibuat bermotif politik kerana serangan-serangan sedemikian dilemparkan bermula sejak mengambil alih jawatan Presiden PAFA. 

"Namun, segala bentuk serangan itu tidak berkesan dan saya yakin dapat membuktikan sesuatu kepada rakyat Perak bagi meneruskan kesinambungan kejayaan bola sepak negeri ini pada masa hadapan." katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Karnival Sinar Harapan di sini, hari ini. 

Hasnul Zulkarnain yang juga EXCO kerajaan negeri, berharap rakyat Perak dapat menghargai usaha dan kerja keras pihaknya sehingga berjaya membawa balik Piala Malaysia yang dimenangi kali terakhir 18 tahun lalu. 

Katanya, kedudukannya sebagai Presiden PAFA akan dibincangkan dalam mesyuarat Eksekutif PAFA pada Khamis ini memandangkan pelantikannya memegang jawatan itu adalah berlandaskan sokongan gabungan persatuan bola sepak daerah di Perak. 

"Sehingga kini, saya masih mendapat sokongan penuh daripada majoriti EXCO Eksekutif PAFA untuk meneruskan perkhidmatan sebagai presiden. 

"Hanya sekiranya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri mengarahkan saya untuk melepaskan jawatan, barulah saya akan memperhalusi keputusan itu demi kepentingan semua pihak. 

"Saya juga berharap rakyat Perak akan terus memberikan sokongan kepada saya kerana di sebalik kekhilafan dilakukan, saya sudah menyuarakan kemaafan secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan," katanya. 

Mengenai desakan penyokong supaya beliau melepaskan jawatan, Hasnul Zulkarnain mendedahkan sudah menghubungi sendiri beberapa kelab penyokong bola sepak Perak baru-baru ini dan bersyukur mereka masih memberi sokongan penuh kepadanya menggalas tanggungjawab sebagai Presiden PAFA. 

"Saya sekali lagi menyeru penyokong Perak cukup-cukuplah melepaskan kemarahan kepada saya, mohon mereka terus berdiri teguh di belakang PAFA kerana kalau mereka terus bergerak dengan suasana negatif, aura negatif itu akan menjejaskan pula keseluruhan pasukan bola sepak Perak," katanya.

178 dibaca
Berita Harian X