Ahad, 4 November 2018 | 4:24pm
Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe ketika sidang media perlawanan persahabatan diantara Malaysia dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Saddam Yusoff

Harimau Malaya sudah bersedia: Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe percaya anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi kempen Piala AFF, Khamis ini meskipun mengakui persembahan mereka ketika menundukkan Maldives 3-0 semalam belum sempurna.

Kemenangan ke atas Maldives dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu dilihat tonik terbaik Harimau Malaya sebelum bertemu Kemboja pada aksi pembukaan Kumpulan A.

Tapi jika dinilai daripada persembahan keseluruhan permainan, Cheng Hoe masih ‘menggelengkan kepada’ melihat aksi anak buahnya kerana melakukan kesilapan sama.

“Saya harus memberi pujian kepada pemain kerana aksi menentang Maldives ini bukan mudah kerana mereka bermain dengan baik. 

“Pemain cuba memberi aksi terbaik untuk memenangi perlawanan tapi kita kurang tenang, fokus dan kerap kehilangan bola ketika menyerang manakala serangan balas pantas Maldives hampir menghasilkan gol. Tapi pemain kita memiliki semangat tinggi serta komitmen baik dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di atas padang basah akibat hujan sepanjang permainan, Malaysia yang menduduki ranking ke-169 meraih gol menerusi percubaan kapten Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-16 sebelum Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh menambah jaringan pada babak kedua.

Kemenangan itu adalah yang kelima daripada sembilan perlawanan kendalian Cheng Hoe tahun ini dengan aksi terakhir sebelum ini mereka tewas 0-1 kepada Republik Krygzstan 16 Oktober lalu.

Selepas menilai aksi pemain, Cheng Hoe membuat kejutan dengan menggugurkan pemain tengah Nor Azam Azih, Azizan Nordin dan pertahanan kanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Daripada senarai akhir 23 pemain itu, lapan pemain bersamaskuad 2016 iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

“Pemain sudah bersedia, kita kena ada keyakinan untuk mengharungi saingan Piala AFF kerana semua negara ASEAN dahagakan kejayaan. Kita juga harus mengambil peluang yang menggunakan format baru ini (tiada tuan rumah kejohanan),” kata Cheng Hoe.

Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan A Piala AFF bertemu Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini sebelum menentang Laos di SNBJ (12 November), Vietnam di Hanoi (16 November) manakala aksi terakhir bertemu Myanmar di SNBJ ( 24 November).

Senarai pemain skuad kebangsaan

Penjaga gol

Khairul Fahmi Che Mat

Farizal Marlias

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy

Pertahanan

Shahrul Saad

Aidil Zafuan Abd Radzak

Adam Nor Azlin

Nazirul Naim Che Hashim

Irfan Zakaria

Amirul Azhan Aznan

Syahmi Safari

Syazwan Andik

Tengah

Syamer Kutty Abba

Syazwan Zainon

Kenny Pallraj

Akram Mahinan

Safawi Rasid

Akhyar Rashid

Mohamadou Sumareh

Penyerang

Zaquan Adha Abd Radzak (K)

Syafiq Ahmad

Shahrel Fikri Md Fauzi

Ahmad Hazwan Bakri

Norshahrul Idlan Talaha

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

109 dibaca
Berita Harian X