Khamis, 1 November 2018 | 9:59pm
PENGANJUR Program Karnival Sinar Harapan menafikan Piala Malaysia akan dibawa ke program itu di Pinggiran Sungai Kerian di Parit Buntar, hujung minggu ini. - Foto IHSAN PEMBACA

Penganjur nafi bawa Piala Malaysia ke karnival

IPOH: Penganjur Program Karnival Sinar Harapan menafikan Piala Malaysia yang dimenangi Perak akan dibawa ke program itu di Pinggiran Sungai Kerian di Parit Buntar, hujung minggu ini.

Jawatankuasa program itu dalam satu kenyataan malam ini berkata, poster tular yang menyatakan piala itu akan dibawa ke karnival itu dipercayai disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Poster itu memaparkan gambar Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain (Abdul Munaim) sedang memegang Piala Malaysia dan tertulis perkataan ‘Temui Piala Malaysia’ serta logo program Karnival Sinar Harapan.

“Ini bagi menggambarkan kononnya penganjur akan membawa Piala Malaysia ke program itu.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya poster itu dikeluarkan oleh penganjur. Kami mendapati ia sengaja dicipta bagi tujuan tidak baik,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, umum mengetahui kontroversi yang sedang berlaku berkaitan Piala Malaysia, justeru penerbitan poster oleh pihak tidak bertanggungjawab itu dilihat usaha ‘menangguk di air yang keruh’ bagi menyemarakkan kemarahan terhadap individu tertentu.

“Kami harap poster yang ditularkan ini dapat dihentikan. Moga kita tidak menjadi sebahagian ejen penyebar fitnah yang mungkin memberikan kesan tidak baik kepada pihak dan individu tertentu,” katanya.

Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri, ketika ini menerima kritikan dan kecaman hebat netizen di media sosial berikutan tersebarnya gambar dan caranya mengendali trofi Piala Malaysia.

Walaupun sudah meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia melalui sidang media kelmarin dengan mengatakan tiada niat untuk menjatuhkan martabat dan keunggulan trofi itu, Hasnul terus dikecam malah digesa untuk meletak jawatan sebagai Presiden PAFA.

Kini terdapat kempen di media sosial yang mendesak beliau meletak jawatan dengan tanda pagar #PresidenPafaSilaLetakJawatan #PresidenPafaOut.

Selain itu ada juga kempen meminta peminat bola sepak Perak supaya memboikot majlis perarakan piala itu di setiap daerah yang dirancang kerajaan negeri dan PAFA dalam masa terdekat.

Laman Facebook rasmi dan peribadi Hasnul turut ‘diserang’ dengan pelbagai kecaman selain ajukan atau ‘troll’ daripada netizen.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada Hasnul mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan sebagai Presiden PAFA hingga hari ini tidak berjaya apabila beliau gagal dihubungi.

219 dibaca
Berita Harian X