Khamis, 1 November 2018 | 9:44am
REAL Madrid, Alvaro Odriozola (tengah) meraikan jaringan ketika aksi bertemu Melilla di Melilla. - Foto EPA

Melilla mangsa pertama Solari

MADRID: Jurulatih sementara Real Madrid, Santiago Solari mendapat suntikan semangat apabila juara Eropah itu mudah menewaskan kelab liga bawahan, Melilla dalam aksi Copa del Rey, awal pagi tadi.

Jaringan Karim Benzema, Marco Asensio, Alvaro Odriozola dan Cristo Gonzalez membolehkan juara 19 kali itu menang 4-0 dalam kunjungan pertama mereka ke kelab kerdil itu.

Solari yang sebelum ini mengendalikan skuad simpanan Real, Castilla B dilantik menjadi pengendali sementara selepas Julen Lopetegui dipecat hanya selepas 139 hari mengendalikan Galacticos.

Kekalahan memalukan 5-1 dalam aksi Clasico menentang Barcelona menyebabkan Presiden Real Florentino Perez hilang sabar apatah lagi Real mengalami kemuruduman prestasi dalam 32 perlawanan terakhir.

"Dalam masa sukar, kami bergerak dalam arah yang sama,” kata Solari. “Kami mempunyai skuad besar yang tahu apa perlu dilakukan.”

Melilla mungkin bukan lawan sehebat Barca atau Manchester City tetapi aksi Real tetap mengundang pujian dan pemain remaja Brazil, Vinicius Junior turut mencuri tumpuan.

Selepas mempamerkan aksi hebat dalam skuad Castilla, pemain remaja berusia 18 tahun itu diserapkan dalam skuad utama dan tidak mengecewakan dalam penampilan pertamanya bersama Real.

Solari pula berkata, dia sedia menjadi jurulatih jangka panjang buat Real dan perlawanan pertamanya mungkin boleh membuka mata pengurusan Real.

Solari dari Argentina yang beraksi untuk Real dari 2000 hingga 2005 dijangka kekal mengendalikan pasukan untuk aksi La Liga menentang Real Valladolid di tempat sendiri pada Sabtu ini dan menentang Viktoria Plzen dalam aksi Liga Juara-Juara minggu depan.

Madrid sebelum ini berminat mendapatkan bekas jurulatih Chelsea dan Juventus Antonio Conte tetapi rundingan menemui jalan buntu. Selain itu, pengurus Belgium Roberto Martinez dan bekas pemain tengah Real, Guti turut dikaitkan dengan jawatan itu.

Jika Solari berjaya meneruskan momentum kemenangan, peluang untuknya menjadi jurulatih sepenuh masa adalah cerah sekali gus mengikuti jejak langkah bekas jurulatih Castilla, Zinedine Zidane yang mempunyai rekod cemerlang di Bernabeu. - AFP

Berita Harian X