Ahad, 28 Oktober 2018 | 6:26pm
SURESH Jayaraman melayangkan kad kuning kepada pemain Perak selepas melakukan provokasi ke atas pemain pertahanan Terengganu ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Siapa Suresh Jayaraman?

KUALA LUMPUR: Gara-gara beberapa keputusan kontroversi pada pentas final Piala Malaysia 2018, nama pengadil perlawanan Suresh Jayaraman tiba-tiba meledak di media sosial dan menjadi buah mulut ramai sejak malam tadi.

Pelbagai kecaman dan cemuhan dilemparkan ke atas pengadil berusia 30 tahun dari Selangor berkenaan selepas dilihat gagal mengawal dan mengendalikan pertembungan final paling dramatik dalam era moden antara Terengganu FC dan Perak itu.

Cuma, Suresh sedikit bernasib baik apabila kemenangan akhirnya berpihak kepada Perak dalam aksi yang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 3-3 sepanjang 120 minit permainan di Stadium Shah Alam.

Keputusannya membatalkan dua gol Perak terutamanya menerusi tandukan Leandro dos Santos menimbulkan pertikaian dan nyaris menyebabkan skuad naib juara Liga Super itu terus kempunan Piala Malaysia buat tahun ke-19.

Berdasarkan semakan di laman web rasmi FIFA, nama Suresh bagaimanapun tidak berada dalam senarai pengadil badan induk dunia terbabit.

Namun, menurut sumber Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Suresh adalah calon terbaik dimiliki untuk mengadili aksi final itu selepas mengambil kira beberapa kriteria.

"Memang FAM mempunyai enam pengadil yang berada dalam senarai FIFA, tetapi terdapat pelbagai kekangan dan akhirnya mereka memilih Suresh.

"Pemilihannya berbanding dua calon lagi dibuat selepas mengambil kira prestasinya yang baik sepanjang musim ini selain dia yang terbaik selepas enam pengadil FIFA Malaysia berkenaan," kata sumber berkenaan.

Difahamkan, selain prestasi semasa, kekangan lain diambil kira pengadil yang dilantik mengendalikan perlawanan akhir semestinya bukanlah yang berasal dari negeri yang melayakkan diri ke separuh akhir.

Ia sekali gus menyaksikan pengadil sedang meningkat dari Perak, Mohd Amirul Izwan diberi pengecualian manakala pengadil dari Pulau Pinang, Nazmi Nasaruddin pula baharu saja selesai mengendalikan aksi separuh akhir dengan beberapa pengadil lain ke luar negara.

Pada masa sama, Suresh turut memenuhi kriteria dan mempunyai lesen Kelas 1 Pengadil Kebangsaan Kategori A iaitu bermakna dia layak mengendalikan perlawanan tahap kebangsaan bertaraf Liga Malaysia dan Liga Super.

Lesen Kelas 1 Pengadil Kebangsaan itu boleh dipecahkan kepada tiga kategori iaitu A boleh mengendalikan aksi Liga Super, kategori B (Liga Perdana ke bawah) dan kategori C (Piala Belia dan Piala Presiden).

Bagi lesen Kelas 3 pula hanya boleh mengadili perlawanan dalam negeri saja.

Sebagai rekod, ia bukan kali pertama Suresh dipalit kontroversi selepas dikatakan menjadi punca pergaduhan final Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antara pasukan UiTM Shah Alam dan UiTM Perlis yang dicemari insiden tumbuk-menumbuk serta caci-mencaci pada tahun 2015.

Dalam perlawanan di Stadium Mini Shah Alam itu, Suresh turut melayangkan tiga kad merah membabitkan seorang pemain tuan rumah dan dua pelawat dengan jurulatih UiTM Perlis, Manja Man meluahkan rasa kecewa terutama dengan mutu pengadilan yang disifatkannya ‘bertaraf rendah’ sehingga mengundang insiden memalukan itu.

Malah, dia yang sudah tiga tahun mendapat lesen mengendalikan perlawanan Liga Super turut menjadi bahan pertikaian ketika Kedah tumpas 0-5 kepada T-Team tahun lalu selepas melayangkan kad merah kepada pertahanan Lang Merah, Rizal Ghazali.

Info

Kronologi beberapa keputusan Suresh Jayaraman yang mencetuskan kontroversi:

Minit ke-31: Perak samakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Leandro

dos Santos, namun jaringan dibatalkan pengadil kerana Leandro didakwa mengasari penjaga gol.

Minit ke-34: Pemain Perak, Wander Luiz dilayang kad kuning kerana membantah keputusan pengadil 

Minit ke-36: Pemain TFC, Lee Tuck dilayang kad kuning selepas mengasari pemain Perak

Minit ke-49: Jaringan Perak menerusi Gilmar da Silva dibatalkan biarpun dikatakan tidak berada dalam kedudukan ofsaid

Minit ke-56: Pemain Perak, Gilmar da Silva dilayang kad merah selepas mengutip kad kuning kedua manakala pemain TFC, Igor Zonjic turut dilayang kad kuning selepas berlaku insiden pergaduhan

Minit ke-66: Pemain TFC, Lee Tuck dilayang kad merah pada minit ke-66.

Minit ke-120: Pemain Perak, Leandro dos Santos dilayangkan kad kuning selepas dilihat sengaja provokasi pemain TFC, Igor Zonjic yang menjaringkan gol sendiri.

Berita Harian X