Ahad, 28 Oktober 2018 | 12:53am
PEMAIN tengah Liverpool, Mohamed Salah (kiri) meraikan gol ledakannya ketika menentang Cardiff City pada saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, sebentar tadi. - Foto AFP

Mane ledak dua gol, Salah kembali tajam

LONDON: Sadio Mane meledak dua gol dan Mohamed Salah kembali mempamerkan rentak cemerlangnya ketika membantu Liverpool melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 4-1 ke atas Cardiff City di Anfield sebentar tadi.

Salah menyempurnakan gol minit kesembilan selepas percubaan Mane ditampan – untuk gol keempatnya dalam tiga perlawanan.

Liverpool menguasai 86 peratus permainan dan mencipta 12 percubaan di babak pertama, namun skuad bimbingan Juergen Klopp gagal menambah jaringan sebelum rehat.

Gol kedua Liverpool muncul pada minit ke-66 menerusi gerakan solo Mane yang menggelecek beberapa pemain sebelum melepaskan rembatan kaki kiri.

Cardiff tampak seperti mampu bangkit apabila Callum Paterson merapatkan jurang pada minit ke-77, tetapi Xherdan Shaqiri dan Mane masing-masing menambah jaringan untuk kemenangan selesa.

Liverpool, yang masih belum tewas dan menang lapan daripada 10 perlawanan, mengumpul 26 mata – tiga mengatasi juara bertahan Manchester City yang mampu merampas kembali tangga teratas jika menewaskan Tottenham Hotspur Isnin ini.

Cardiff kendalian Neil Warnock kekal di tangga ke-17 liga dengan lima mata daripada 10 perlawanan pertama musim ini. – REUTERS

Berita Harian X