Sabtu, 27 Oktober 2018 | 12:15pm
ERIC Cantona

Cantona derita tengok United

LONDON: Eric Cantona menyatakan beliau “menderita” menonton aksi Manchester United dan kelab itu “kehilangan pemain generasi muda” kerana corak permainan semasa mereka.

United menghuni tangga ke-10 dalam Liga Perdana Inggeris dan tumpas 0-1 kepada Juventus pada aksi Liga Juara-Juara, Selasa lalu.

Prestasi kelab itu menentang juara Serie A itu mendapat kritikan dan masa depan pengurus Jose Mourinho sekali lagi dipersoalkan musim ini.

“Beliau bukanlah pilihan yang tepat,” kata bekas penyerang United itu mengenai Mourinho.

Cantona, 52, meraih empat kejuaraan Liga Perdana dan dua Piala FA dalam lima musim bersama United di bawah bimbingan Alex Ferguson.

“Adakah itu caranya anda bermain. Anda boleh tumpas tapi tetap mahu ambil risiko. Anda tewas dengan Juventus dan mereka mengawal 70 peratus permainan di Old Trafford. Anda tentu dapat bayangkan jika Ferguson berada di tempat duduk pasukan ketika itu?

“Saya berasa sengsara dan bertambah derita apabila melihat Manchester City bermain dengan lebih bagus,” kata bekas pemain kebangsaan Perancis itu.

Ditanya siapakah yang sesuai untuk menggalas tugas di Old Trafford, Cantona mencadangkan bekas pemain harus diberi peluang.

“Di United, mereka tidak pernah memberi peluang kepada pemain yang tahu mengenai kelab ini dari dalam, tahu mengenai identiti dan falsafah kelab.

“Saya tidak mahu orang rasakan saya mahu menjadi pengurus Manchester United. Ryan Giggs? Mana-mana pemain yang mahu menjadi pengurus mereka harus diberi peluang,” katanya. - Agensi

Berita Harian X