Sabtu, 27 Oktober 2018 | 11:41am

City, Reds, Blues kian sukar dibendung

KOLUM APA KATA EPL

MANCHESTER City dan Liverpoool kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini dengan motivasi tinggi selepas mencatat satu lagi kemenangan memberangsangkan di Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Sebaliknya pula buat Manchester United yang dikejutkan Juventus, 0-1 di Old Trafford. Begitu juga, Tottenham Hotspur yang terus gagal catat kemenangan selepas tiga aksi.

Pencabar liga, Chelsea dan Arsenal turut ceria apabila terus merakam kemenangan pada saingan kedual Eropah iaitu Liga Europa.

Dengan pencapaian berbeza dialami enam gergasi EPL ini dipentas Eropah, penulis percaya saingan minggu ini pastinya akan lebih sengit selain kemungkinan ada pesta gol.

Minggu ini, aksi tumpuan pastinya membabitkan pertembungan pendahulul liga, City dan Spurs di Stadium Wembley jam 4 pagi Selasa ini waktu Malaysia.


PEP Guardiola - Foto Reuters

Sebelum pertemuan ini, skuad Pep Guardiola dipersada liga dengan himpunan 23 mata menerusi sembilan aksi manakala Spurs ditempat kelima, dengan hanya ketinggalan dua mata.

Dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan di Wembley pada 14 April lalu, City membenam Spurs 3-1. Itu adalah kekalahan kedua anak buah Mauricio Pochettino daripada 21 aksi di gelanggang sementara mereka itu.

Kalau kita lihat dari segi rekod pertembungan antara Guardiola dan Pochettino, jelas menyebelahi pengendali City apabila hanya tewas dua kali daripada 13 aksi. Bagi aksi Selasa ini, andai City menang, ia ketiga berturut-turut buat Guardiola. Dengan reputasi cemerlang dipamer kedua-dua pasukan ketika dalam liga domestik, penulis percaya aksi mereka bakal berakhir dengan seri.

Sementara itu, Liverpool yang membelasah Red Star Belgrade, 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield pertengahan minggu, dijangka mampu berpesta gol apabila menyambut kunjungan Cardiff City jam 10 malam ini.


JURGEN Klopp

Jurgen Klopp seharusnya tidak resah lagi apabila ayam tambatannya, Mohamed Salah sudah mendapat kembali sentuhannya apabila menjaringkan dua gol pada aksi berkenaan.

The Reds akan berada dipuncak liga jika menang malam ini.

Dalam pada itu, peluang Chelsea untuk terus menekan City dan Liverpool dipersada turut cerah apabila bertandang ke Burnley malam esok.


MAURIZIO Sarri

Skuad Maurizio Sarri yang menewaskan BATE pada Liga Europa mampu mencatat rekod tak pernah tewas 10 aksi jika menang. Cuma kerisauan Sarri apabila penyerangnya, Eden Hazard dibelenggu kecederaan.

Pasukan bergelora, United harus memenangi aksi bertemu Everton malam esok selepas diikat Chelsea 2-2 minggu lalu untuk terus merapati City dipuncak liga. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

• Brighton 2 Wolves 1

• Southampton 2 Newcastle 2

• Liverpool 4 Cardiff City 0

• Fulham 2 Bournemouth 1

• Watford 1 Huddersfield 1

• Leicester 2 West Ham 0

• Burnley 1 Chelsea 2

• Crystal Palace 1 Arsenal 2

• Man United 3 Everton 1

• Tottenham 1 Man City 1

Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

98 dibaca
Berita Harian X