Jumaat, 26 Oktober 2018 | 10:57am
PEMAIN Liverpool, Fabinho. - Foto AFP

Fabinho cetus dilema Klopp

LIVERPOOL, England: Persembahan memberangsangkan Fabinho ketika kejayaan Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara pertengahan minggu ini menyukarkan pengurus Juergen Klopp membuat keputusan menjelang aksi domestik bertemu Cardiff di laman sendiri, malam esok.

Namun apa yang penting buat penyokong Liverpool adalah harapan mereka bagi menamatkan penantian 29 tahun untuk sekali lagi dinobat selaku juara England apatah lagi pasukan itu kini menyamai kutipan mata dengan pendahulu Manchester City.

Pemain berusia 25 tahun dari Brazil itu menyertai pasukan dari AS Monaco dengan harga £39.9 juta (RM213 juta) pada musim panas lalu, awalnya menunjukkan peningkatan perlahan dalam bola sepak Inggeris.

Bagaimanapun, penampilannya dari bangku simpanan pada minit ke-21 ketika menewaskan Huddersfield baru-baru ini permulaan baik baginya dalam kempen liga dengan Klopp dilihat sudah melakukan tugas sebaiknya dalam membimbing pemain itu.

Prestasi Fabinho sepanjang 90 minit ketika kelab itu membenam Red Star Belgrade 4-0 Rabu lalu secara tidak langsung menggambarkan kemampuannya untuk memegang peranan utama di barisan tengah yang turut diisi pemain ternama England.

“Dia sangat bagus,” kata Klopp mengenai Fabinho yang menyambut ulang tahun ke-25, Selasa lalu.

“Hadiah untuk hari lahirnya bukanlah kerana disenaraikan dalam kesebelasan utama, ia kerana kami bermain sistem kegemarannya. Dia bermain dengan baik dan ia sesuatu yang bagus.

“Dia amat agresif dan semuanya lengkap. Bagi permulaan keduanya dalam kesebelasan utama, ia bagus, sangat bagus.

“Agak mengagumkan apa yang dilihat oleh setiap orang. Ia sentiasa membantu seseorang pemain sekiranya anda bermain satu perlawanan yang bagus - ia membantu kami dan membantunya juga. Itu adalah permulaan, jadi anda harus teruskan,” kata pengurus dari Jerman itu. - AFP

Berita Harian X