Khamis, 25 Oktober 2018 | 8:52pm
AHMAD Amizal Shaifit Ahmad Rafie - Foto AZHAR RAMLI

PFA anggap isu gaji pemain selesai

KANGAR: Isu gaji pemain Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang tertunggak lebih RM460,000 sejak Mac lalu kini dianggap selesai.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, isu gaji yang membabitkan 34 pemainnya kini selesai selepas pertemuan tertutup selama tiga hari yang berakhir semalam.

Menurut Ahmad Amizal, pihaknya akan melakukan pembayaran kepada pemain mengikut perjanjian yang sudah dibincangkan di antara mereka.

"Saya sudah berjumpa dengan pemain yang bermain di Liga FAM, Piala Presiden dan Piala Belia PFA bagi membincangkan hala tuju mereka sejak Isnin lalu,” kata Ahmad Amizal.

"Saya anggap perkara ini (gaji tertunggak) selesai selepas satu kata sepakat antara saya dan semua pemain diambil." 

Ahmad Amizal bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kaedah pembayaran yang dilakukan pihaknya kepada pemain kerana ia termaktub di dalam perjanjian bersama mereka.

"Sekarang ini, kita mahu buka buku baharu dan fokus pada pembangunan PFA di semua peringkat.

"Kita juga kini dalam persiapan untuk membentuk satu pasukan dengan nafas baharu untuk bersaing dalam Liga Malaysia pada musim hadapan," katanya.

Sebelum ini NSTP melaporkan PFA gagal menjelaskan gaji tertunggak yang sejak Mac lalu sehingga bekas jurulatihnya, Manja Man menyerahkan isu terbabit kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikannya.

200 dibaca
Berita Harian X