Khamis, 25 Oktober 2018 | 7:20pm
MOHD Suffian Abdul Rahman - Foto IHSAN/TFC

Tiger janji gawang tak bolos

KUALA TERENGGANU: Status sebagai pemain paling tua dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tidak sedikitpun memberi kesan kepada penjaga gol berpengalaman Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abdul Rahman.

Sebaliknya bekas pemain kebangsaan itu yang memperagakan aksi cemerlang ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, minggu lalu bertekad akan menggunakan segala pengalamannya untuk mengecewakan barisan Perak pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Pemain yang menjadikan bekas penjaga gol kebangsaan Itali, Gianluigi Buffon sebagai idolanya itu turut berhasrat untuk menambah koleksi kejuaraan selepas memenangi trofi berprestij itu ketika mewakili Negeri Sembilan pada 2004.

"Saya tidak sangka keputusan untuk kembali mewarnai pentas Liga M selepas bersara awal musim lalu sebelum menjadi jurulatih memberi rahmat buat saya sehingga berjaya layak ke final.

"Justeru peluang sebegini pasti tidak akan saya lepaskan sebaliknya aksi terbaik menjadi matlamat setiap kali diberi tanggungjawab menjaga gawang," kata pemain yang lebih mesra dipanggil 'Tiger' ketika ditemui pada majlis pemain bersama kopi Super Jantan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise, Mohd Zulkifli Harun yang memberikan semangat kepada pemain menjelang aksi final itu.

Sebelum menyarung jersi TFC pertengahan musim lalu, Suffian pernah mewakili lapan pasukan bermula dengan Negeri Sembilan, Telekom Melaka, Selangor, Kuala Muda Naza FC, Sarawak, Pahang, FELDA United dan Sime Darby FC.

Mengenai kemungkinan pertemuan itu bakal berakhir dengan sepakan penalti, Suffian berkata dia sudah bersedia menghadapi situasi itu.

"Saya sudah menggandakan latihan jika perlawanan berakhir dengan sepakan penalti, lagipun ini final ketiga saya selepas membantu Negeri Sembilan muncul juara dan Selangor pada 2008 sebagai naib juara.

"Kami perlu cari gol awal untuk memberi tekanan kepada pihak lawan kerana pertemuan itu dijangka sengit apatah lagi barisan pemain Perak juga bagus termasuk pemain importnya.

"Tapi sebagai pemain paling senior dalam padang, apa yang penting rakan sepasukan harus tenang dan tidak emosi selain mengikut taktikal yang diatur jurulatih," katanya yang mahu cipta sejarah menjulang trofi berprestij itu pada usia 40 tahun.

Berita Harian X