Rabu, 24 Oktober 2018 | 4:27pm
Bojan Hodak. - Foto Owee Ah Chun

Kesilapan mudah hantui skuad B-19

KUALA LUMPUR: Kesilapan mudah sekali lagi menghantui skuad muda negara hingga mereka berdepan kemungkinan pulang lebih awal pada Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Indonesia.

Situasi itu diakui pengendalinya, Bojan Hodak selepas menyaksikan kesilapan anak buahnya ‘menghadiahkan’ dua gol kepada Tajikistan meskipun mereka berjaya bangkit pada babak kedua untuk mengutip mata pertama pada kejohanan itu.

Menurutnya, kelemahan itu perlu diperbaiki jika anak buahnya mahu meneruskan perjuangan mereka pada kejohanan itu.

“Secara taktikal serta teknikal, Tajikistan sememangnya pasukan yang bagus dan kami tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi malangnya pemain sekali lagi melakukan kesilapan ketika sedang bertahan.

“Kesilapan sebegini seharusnya tidak dilakukan pada aksi di peringkat Asia. Mengenai penalti, saya tidak tahu dan saya akan melihat kembali rakaman video tapi pada pandangan saya, pertahanan saya melakukan kesilapan teknikal.

“Bagi gol kedua Tajikistan pula, ada tujuh atau lapan pemain berada dalam kotak penalti namun tiada seorang pun yang cuba menutup ruang dan cuma menunggu jika ada pemain yang menghalang percubaan lawan.

“Apa pun, pemain memperaga aksi lebih baik selepas rehat dan kedua-dua pasukan berpeluang untuk menang. Bagi saya, 2-2 keputusan yang adil,” kata Hodak pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi malam tadi, skuad muda negara menempah laluan sukar dalam usaha layak ke suku akhir selepas seri 2-2 dengan Tajikistan pada aksi kedua Kumpulan D.

Selepas gagal meraih sebarang mata apabila tumbang 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pertama, anak buah Hodak seharusnya bangkit mengutip mata penuh ke atas Tajikistan namun kegagalan berbuat demikian mungkin boleh menyebabkan perjuangan mereka berakhir setakat peringkat kumpulan.

Justeru, mereka perlu menang selesa ke atas China pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Pakansari, Cibinong, Jumaat ini untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir sambil mengharapkan bantuan Arab Saudi yang sudah layak untuk menewaskan Tajikistan.

Berita Harian X