Sabtu, 20 Oktober 2018 | 9:40am
Laurent Koscielny. - Foto AFP

Koscielny perlu masa lebih sebulan - Emery

LONDON: Unai Emery menganggarkan Laurent Koscielny memerlukan masa lebih sebulan sebelum boleh beraksi bersama Arsenal, selepas dia kembali menjalani latihan minggu ini.

Pemain 33 tahun itu mengambil bahagian dalam sesi berkumpulan buat pertama kali sejak kecederaan tendon, ketika menentang Atletico Madrid dalam saingan separuh Liga Europa, pada Mei lalu.

Sebelum ini dia dijangka kembali pada pertengahan November dan walaupun dikatakan mungkin kembali lebih awal, Emery mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan kaptennya itu benar-benar pulih.

“Dia sangat penting buat kami kerana dia adalah kapten kami,” kata Emery. “Dia mula berlatih dengan kami minggu ini dan ia berita yang sangat baik buat kami.

“Saya rasa kami juga perlu meningkatkan keyakinannya, untuk berada dekat dengan kami, kerana ia kecederaan yang serius.

“Tetapi kini dia semakin baik, dia bersama kami dalam latihan dan itu satu perkembangan yang cukup positif. Kita perlu bertenang dengan situasinya.

“Selepas lebih sebulan, jika dia rasa sudah dapat melakukan beberapa perkara dengan baik, dan kemudian apabila dia sudah boleh bermain dalam perlawanan latihan, kami akan mula memikirkan sama ada dia sudah boleh diturunkan,”. – AGENSI

 

12 dibaca
Berita Harian X