Isnin, 15 Oktober 2018 | 7:29am
Laurent Koscielny. - Foto AFP

Koscielny merajuk

PARIS: Pemain pertahanan tengah Arsenal, Laurent Koscielny yang terlepas peluang ketika Perancis menjulang Piala Dunia 2018 di Russia, mengakui kariernya di pentas antarabangsa kini sudah berkubur.

Koscielny, 33, bukannya memilih untuk bersara daripada tugas bersama skuad kebangsaan, tetapi dia diketepikan skuad bimbingan Didier Deschamp pada detik akhir selepas mengalami kecederaan membabitkan urat pergelangan kaki pada Mei lalu.

 

“Kecederaan satu isu...memenangi Piala Dunia pula satu perkara lain. Saya rasa, kejayaan itu lebih menyakitkan hati saya berbanding kecederaan secara fizikal,” kata Koscielny kepada Canal Plus.

“Piala Dunia akan kekal sebagai detik hitam dalam karier serta kehidupan saya. Saya sudah memberikan segala-galanya untuk Perancis. Saya sudah 33 tahun, sudah beraksi dalam dua kejohanan Eropah dan Piala Dunia. Bagi saya, kecederaan in tidak mengubah apa-apa.

“Ia sudah berakhir buat skuad Les Bleus. Saya akan sentiasa menjadi penyokong Perancis, namun apa yang pasti, saya mungkin tidak akan menyarung jersi biru itu lagi,” 

Koscielny kini kembali ke kelab Arsenal, sejak mengalami kecederaan pada pusingan kedua, separuh akhir Liga Europa menentang Atletico Madrid, musim lalu.

“Saya sudah ada pemikiran baharu. Akan ada Laurent sebelum dan Laurent selepas kecederaan. Saya mahu menjulang Arsenal dan mahu kembali secepat mungkin.

“Saya tidak pasti di mana kedudukan saya sekarang kerana masih belum menjalani latihan, tetapi saya akan berjuang merebut peluang dan tempat. 

Koscielny melakukan penampilan bersama Perancis pada November 2011, dalam aksi persahabatan menentang Amerika Syarikat dan meraih kap terakhir yang ke-51, ketika mereka menumbangkan Russia, 3-1 pada Mac lalu. – AFP 

 

36 dibaca
Berita Harian X