Selasa, 9 Oktober 2018 | 4:46pm
PENYERTAAAN Sumareh memberi impak besar terhadap prestasi negara. - Arkib NSTP

Sumareh mampu cetus impak: Zaquan

MELAKA: Kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Razak teruja dengah kehadiran pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh yang bakal membantu skuad Harimau Malaya pada Kejohanan AFF Suzuki 2018, bulan depan.

"Penyertaaan Sumareh memberi impak besar terhadap prestasi negara, tambahan pemain sayap Pahang itu bakal mewarnai corak permainan positif pasukan negara,” kata Zaquan.

"Saya yakin Sumareh mampu untuk bertindak cemerlang dengan menyumbang sesuatu buat pasukan negara di AFF kelak."

Menurut Zaquan setiap pemain memiliki kelebihan, sudah pasti Sumareh menambah pilihan lebih luas buat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk merangka strategi permainan.

Anak buah Cheng Hoe akan diuji dalam dua perlawanan antarabangsa berdepan Sri Lanka di Colombo Sabtu ini dan Kyrgyzstan (16 Oktober) di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Aksi berkenaan bagi Zaquan, bukanlah perlawanan mudah berikutan lawan dilihat memiliki kekuatan seimbang dan kelebihan daripada pelbagai aspek.

"Justeru, fokus dan persefahaman jitu amat diperlukan dalam dua ujian ini, tambahan pula kita berlatih dalam tempoh yang singkat, jadi pemain perlu pantas menyesuaikan diri.

"Sedikit merisaukan adalah kecergasan membabitkan pemain daripada pasukan yang tidak layak ke separuh akhir Piala Malaysia, berbanding (pemain) yang kini berada di pentas saingan itu," katanya.

 Bagaimanapun Zaquan berkata, sebagai pemain kebangsaan mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kecergasan lebih tinggi.  

Berita Harian X