Isnin, 8 Oktober 2018 | 6:09pm
LUQMAN Hakim Shamsudin dipilih sebagai penjaring terbanyak dalam acara bola sepak sepanjang Kejuaraan B-16 AFC 2018. - Foto BERNAMA

Luqman ubat duka skuad B-16

KUALA LUMPUR: Kejayaan Luqman Hakim Shamsudin merangkul anugerah penjaring terbanyak kejohanan bawah 16 (B-16) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjadi pengubat duka buat skuad B-16 negara yang tersingkir awal dari kejohanan itu.

Skuad kendalian Lim Teong Kim yang tersingkir di peringkat kumpulan selepas merekodkan satu kemenangan dan dua kekalahan turut gagal mencapai sasaran utama mereka layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Namun, anugerah yang diterima Luqman semalam pasti menjadi kebanggaan buat negara apabila dia muncul pemain pertama Malaysia memenangi anugerah berkenaan pada kejohanan B-16 peringkat Asia.

Anak muda dari Kota Bharu, Kelantan itu mengakui tidak sangka penampilan tidak sampai dua perlawanan membolehkan dia merangkul anugerah yang dianggap paling besar dalam kerjayanya.

“Saya rasa bangga buat pertama kali dapat anugerah penjaring terbanyak dalam kejohanan besar seperti ini. Ia hadiah buat pasukan dan seluruh penyokong bola sepak Malaysia.

“Diharapkan hadiah ini sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan semua pihak selepas kami tersingkir awal di peringkat kumpulan dan ia sudah semestinya menjadi motivasi untuk kerjaya masa depan saya,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Luqman berkongsi lima gol bersama pemain Jepun, Shoji Toyama dan penyerang Australia, Noah Botic di kedudukan teratas carta penjaring.

Bagaimanapun, kejayaan Luqman yang meledak lima gol selepas hanya beraksi satu perlawanan setengah sebelum dilayangkan kad merah ketika berdepan Thailand menjadi kelebihan buatnya merangkul anugerah itu berbanding Toyama dan Botic yang beraksi sekurang-kurangnya lima perlawanan.

Luqman turut bertuah apabila Toyama tidak menjaringkan sebarang gol pada aksi final ketika berdepan Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Jepun muncul juara selepas menundukkan Tajikistan 1-0 hasil jaringan penerima anugerah pemain paling bernilai, Jun Nishikawa pada minit ke-63.

14 dibaca
Berita Harian X