Khamis, 4 Oktober 2018 | 1:37pm
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba. - Foto Reuters

MU 'kunci' mulut Pogba

LONDON: Mulut Paul Pogba ‘dikunci’ Manchester United tatkala kelab berkenaan cuba mengurangkan ketegangan dalam kalangan pemain mereka.

Kapten, Antonio Valencia juga bersetuju dengan cadangan yang menggesa pengurus Jose Mourinho dipecat dengan menyukai salah satu pos di sosial media.

Daripada sudut lain buat United, Polis Greater Manchester menyanggah dakwaan Mourinho yang menyatakan pihak berkenaan seharusnya dipersalahkan kerana sepak mula menentang Valencia terpaksa berlangsung lewat susulan bas pasukan tidak diiring.

Kelab itu didenda UEFA kerana peristiwa memalukan itu.

Pogba enggan bercakap dengan wartawan selepas perlawanan terikat 0-0 dengan berkata: “Saya diberitahu yang saya tidak dibenarkan.”

Isu berkenaan timbul selepas beberapa siri komen daripada bintang United bernilai 89 juta pound (RM477.34 juta) itu berada dalam senarai kumpulan pemain yang tidak bersetuju dengan falsafah permainan Mourinho.

Ogos lalu, pemain Perancis itu mendakwa yang dia tidak boleh bercakap mengenai situasinya di kelab walaupun bulan lalu mengkritik taktik permainan United apabila menggesa pasukannya untuk ‘serang, serang, serang’.

Pogba yang pernah memegang tanggungjawab selaku pembantu kapten, juga melontarkan rasa marah kepada Mourinho menerusi video di Instagram ketika United tersingkir daripada saingan Piala Carabao, minggu lalu.

Sebagai tindakan susulan, pemain United diberi amaran mengenai aktiviti mereka di sosial media, sekali gus membenarkan Valencia mengambil peluang daripada pergolakan berkenaan. - Agensi

Berita Harian X