Ahad, 30 September 2018 | 1:53pm
Lim Teong Kim. - Foto BERNAMA

Jangan kecam Teong Kim: pemain B-16

KUALA LUMPUR: Ketika ramai menyangka Lim Teong Kim sombong dan berlagak, pemain bawah 16 tahun negara sebaliknya menafikan tanggapan itu apabila mengakui beliau bukan saja bertindak selaku jurulatih malah ayah yang sentiasa menerapkan nilai murni dalam kalangan pemain.

Tonggak utama skuad negara, Umar Hakeem Suhar Rezwan berkata, dia berasa sedih apabila jurulatih itu menjadi bahan kecaman susulan kegagalan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

“Tak sepatutnya beliau dikecam dan disalahkan selepas kami kalah dan gagal layak ke Piala Dunia.

“Sebenarnya kami dah berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran tapi dalam bola sepak kadangkala tuah tidak menyebelahi. Bayangkan kami dah berlatih selama empat tahun dan banyak masa serta tenaga dihabiskan, begitu juga dengan jurulatih (Teong Kim) yang berkorban segala-galanya untuk memastikan kami bersedia menghadapi kejohanan.

“Paling saya terkilan apabila semua orang mengkritik beliau dan paling sedih terus memecat jurulatih. Mereka kena faham kami masih dalam proses pembangunan dan jika kami tak berjaya sekarang mungkin dua atau tiga tahun akan datang kami berjaya.

“Jepun pun bermula dari usia tujuh tahun dan memerlukan 10 tahun untuk membentuk pasukan. Kami baru empat tahun saja dan kalau kami gagal ke Piala Dunia B-17, mungkin kami akan tampil lebih kuat dan layak ke Piala Dunia B-20 pula,” kata Umar yang beraksi di posisi tengah.

Nada sama turut dikongsi penjaga gol negara, Abdul Alim Al-Amri Ali yang kecewa dengan tuduhan negatif pelbagai pihak kepada bekas penolong pengendali Akademi Bayern Munich itu.

“Ada yang kata beliau sombong, tapi sebenarnya beliau seorang yang baik hati dan peramah. Orang yang tak kenal beliau akan fikir begitu. Cuma beliau nampak tegas saja dari jauh dan itulah karakter beliau.

“Di Malaysia jarang ada jurulatih yang mempunyai karakter seperti beliau. Bagi saya beliau seperti Jose Mourinho yang tegas dalam tugas dan mahukan yang terbaik.

“Malah, kalau nak tahu, beliau bukan saja mahu kami bermain bola sepak tapi juga mahu kami jadi manusia yang berguna. Jurulatih selalu cakap, bola sepak bukan soal menang atau kalah tapi ia mengenai kehidupan bagaimana untuk mencapai misi dan matlamat dalam hidup,” kata Alim.

Pemain tengah, Harith Haiqal pula mengalirkan air mata apabila berbicara mengenai bekas pemain kebangsaan berusia 55 tahun itu.

“Tak patut buat jurulatih macam itu. Mereka tak kenal beliau tak tahu perangainya. Memang nampak macam ego dan sombong, tapi sebenarnya jurulatih fokus, tegas dan mempunyai karakter lain daripada yang lain,” kata Harith yang berasal dari Klang, Selangor.

Malaysia, tuan rumah Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), gagal ke suku akhir apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan A dengan tiga mata hasil sekali menang dan dua kali kalah. Mereka bermula cemerlang apabila membelasah Tajikistan 6-2 sebelum tewas 2-4 kepada Thailand dan 0-2 di tangan Jepun.

148 dibaca
Berita Harian X