Ahad, 30 September 2018 | 12:54am
RAHEEM Sterling (tengah) meraikan jaringan gol dengan rakan sepasukan. - Foto AFP
MESUT Ozil meraikan jaringan gol ketika menewaskan Watford di Emirates. - Foto Reuters

Man City, Spurs, Arsenal cipta kemenangan

LONDON: Manchester City mengambil peluang untuk menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Brighton 2-0 tatkala dua seteru tetangga London, Tottenham dan Arsenal turut melakar kemenangan, malam tadi.

City merampas kedudukan Liverpool di puncak liga selepas beraksi lebih awal berbanding Reds dan Chelsea yang dijadual bertemu sesama sendiri.

Beraksi di gelanggang sendiri Etihad, gol kemenangan City ke atas Brighton yang menewaskan Manchester United di awal musim ini dijaringkan Raheem Sterling dan Sergio Aguero pada kedua-dua babak permainan.

Tottenham dalam pada itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield  manakala Arsenal membenam Watford dengan jaringan yang sama.

City selepas ini akan membuat kunjungan penting bertemu Hoffenheim dalam kancah Liga Juara-Juara minggu depan selepas tewas aksi pembukaan kepada Lyon.

Leroy Sane membuktikan dia mampu memainkan peranan utama apabila hantaran rendahnya berjaya disambut Sterling untuk gol pada minit ke-29 tetapi mereka perlu menunggu 25 minit selepas babak kedua berlangsung untuk menggandakan kedudukan menerusi Aguero.


AKSI Son Heung-Min ketika Tottenham Hotspur menentang Huddersfield Town. - Foto AFP

Tottenham dalam pada itu mendaki tangga keempat liga dengan penyerang England, Harry Kane kembali meraih semula ‘ketajamannya’ apabila menyumbat kedua-dua gol kemenangan.

Begitupun Spurs berdepan tamparan berganda beberapa hari sebelum menanti kunjungan Barcelona dalam kempen Liga Juara-Juara di Wembley apabila dua tonggaknya, Jan Vertonghen dan Mousa Dembele terpaksa digantikan pada babak kedua.

Sementara itu, Arsenal meneruskan deretan kemenangan kepada tujuh berturut-turut selepas menewaskan Watford dengan gol disumbangkan jaringan sendiri Craig Cathcart dan Mesut Ozil di Emirates.

Everton dalam pada itu menamatkan deretan empat perlawanan tanpa kemenangan apabila menewaskan Fulham 3-0 manakala Wolves menewaskan Southampton 2-0.

Newcastle kekal di tangga tercorot liga selepas tewas 0-2 kepada Leicester di gelanggang sendiri dengan gol pelawat dijaringkan Jamie Vardy dan Harry Maguire. - AFP

Berita Harian X