Sabtu, 29 September 2018 | 2:07am
AKSI pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta bersaing dengan permain Liverpool, Naby Keita. - Foto REUTERS

Chelsea bikin Liverpool muram lagi?

Kolum Apa Kata EPL

Liverpool tewas kepada Chelsea saingan Piala Liga Inggeris pada pertengahan minggu. Mungkin ada menganggap ia mengejutkan jika melihat reputasi semasa skuad Jurgen Klopp itu.

Sebelum ini, skuad The Reds gah kekal kebal selepas tujuh aksi dalam semua kejohanan termasuk ketika menentang Neymar dan rakan sepasukannya, Paris Saint-Germain di Anfield saingan Liga Juara-Juara.

Mereka ketika itu dalam perjalanan mencipta sejarah dari segi jumlah kemenangan berturut-turut. Begitupun, apa juga alasan diberikan atas kekalahan berkenaan, Liverpool sudah terlepas satu trofi musim ini.

Seperti kata segelintir penyokong mereka, kelab itu mungkin tidak mendambakan sangat Piala Carabao ini. Namun, apa yang jelas ia sudah mencalarkan reputasi pasukan pilihan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Dalam aksi Piala Liga di laman sendiri itu, Klopp terpaksa gigit jari bersama anak buahnya menerusi jaringan kemenangan menakjubkan penyerang Belgium, Eden Hazard selepas masuk selaku gantian.

Pada tengah malam ini waktu Malaysia, kedua-dua pasukan ini bertemu lagi. Kali ini, Stamford Bridge menjadi medan pertarungan dalam saingan EPL itu.

Selain sebagai tuan rumah, Chelsea hadir pada aksi ini dengan kelebihan tambahan dari segi psikologi selepas mengecewakan lawannya itu di laman keramat mereka - Stadium Anfield.

Soalnya, mampukah Liverpool menyekat skuad Maurizio Sarri daripada mencatat satu lagi kemenangan ke atas mereka? Atau adakah Klopp berupaya menebus kekalahan saingan Piala Carabao itu.

Penulis percaya, perlawanan tumpuan ini mesti dinantikan penyokong kedua-dua pasukan termasuk di Malaysia. Sebelum perlawanan ini, Liverpool mendominasi persada EPL dengan 18 mata selepas enam aksi.

The Blues pula di tempat ketiga dengan 16 mata, berkongsi jumlah mata sama dengan Manchester City yang berada di tangga kedua.

Andai menang lagi, Chelsea akan memintas The Reds untuk berada di tangga kedua jika City berjaya menjinakkan Brighton dua jam lebih awal sebelum itu.

Terdahulu, Liverpool menang sekali dalam lima pertembungan saingan EPL dengan Chelsea, termasuk tewas 0-1 pada aksi terakhir mereka di Stamford Bridge, Mei lalu.

Sementara itu, Manchester United yang `bergelora’ selepas disingkirkan Derby County pada saingan Piala Liga Inggeris, bakal menentang West Ham pada jam 7.30 malam ini waktu Malaysia.

Minggu lalu, The Reds Devils dikejutkan oleh Wolves apabila mengikat 1-1 di Old Trafford yang menyaksikan Jose Mourinho hilang punca, selain Paul Pogba dilucutkan jawatan naib kapten pasukan gara-gara kritikan ke atas taktikal bosnya itu.

Andai tidak waspada, Mourinho mungkin gigit jari lagi kerana West Ham sudah mendapat suntikan semangat selepas membelasah Macclesfield 8-0 pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, pertengahan minggu - kemenangan terbesar dalam tempoh 35 tahun. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

West Ham 1 Man United 2

Huddersfield 1 Tottenham 1

Arsenal 2 Watford 0

Wolves 1 Southampton 1

Newcastle 1 Leicester 1

Man City 3 Brighton 1

Everton 2 Fulham 2

Chelsea 2 Liverpool 1

Cardiff 2 Burnley 1

Bournemouth 1 Crystal Palace 1

Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

33 dibaca
Berita Harian X