Jumaat, 28 September 2018 | 3:55pm

JDT waspada ancaman Tok Gajah

JOHOR BAHRU: Masih berbaki 90 minit perlawanan yang menjadi penentu sama ada Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Pahang layak ke pentas separuh akhir apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Walaupun JDT tampak berkelebihan selepas memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan apabila seri 1-1 ketika menentang Pahang pada aksi suku akhir pertama di Kuantan, keputusan itu masih belum beri jaminan buat skuad Harimau Selatan mara ke pusigan seterusnya.

Sudah tentu pengurus pasukan, Luciano Figueroa enggan lagi kecewa selepas impian melakar kemenangan pada aksi lalu dinafikan jaringan penyamaan Safuwan Baharuddin pada minit akhir perlawanan biarpun ketika itu mendahului hasil jaringan Gabriel Cabrera pada minit ke-46.

Katanya, aksi di laman sendiri akan menjadi penentu buat JDT mara ke separuh akhir dan mahu pemainnya fokus 90 minit perlawanan yang dijangka sengit dan tidak boleh bersikap sambil lewa dan tetap berhati-hati terhadap kebangkitan skuad Tok Gajah.

"Apa yang berlaku pada aksi suku akhir pertama sudah dilupakan dan kami kini memberi sepenuh tumpuan membuat persiapan untuk melayani kunjungan Pahang malah kami juga memperbaiki beberapa kesilapan.

"Saya optimis kesebelasan utama akan memberi persembahan terbaik dan berharap sokongan padu penyokong selaku pemain ke-12 mampu menyemarakkan lagi semangat juang setiap pemain untuk memburu kemenangan," kata Figueroa.

Apa pun jika dinilai persembahan JDT pada aksi lalu walaupun menguasai perlawanan corak permainan Corbin Ong yang beraksi di posisi bek kiri harus lebih mantap selepas mudah diatasi pemain sayap kanan Pahang, Mahamadou Sumareh yang menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Selatan.

Tanpa kelibat Fernando Marquez yang masih mengalami kecederaan kemungkinan Figueroa akan memberi kepercayaan kepada Ahmad Hazwan Bakri mengemudi jentera serangan dan pastinya dia berazam untuk menyerlah dalam perlawanan itu dengan sokongan Safawi Rasid dan Cabrera.

Jika diamati sepanjang beberapa perlawanan, Figueroa yang juga ketua jurulatih JDT bersama Benjamin Mora akan mempratikkan formasi 4-3-3 dan Hariss Harun, Fernando Elizari dan Natxo Insa bakal menjadi sandaran mengemudi jentera tengah manakala benteng pertahanan yang akan mempertaruhkan Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Razak mengemudi bek tengah sambil dibantu Corbin dan Azrif Nasrulhad Badrul Hisham perlu konsisten tanpa membuat kesilapan mudah yang boleh membuka ruang penyerang Pahang mengambil kesempatan.

Berita Harian X