Khamis, 27 September 2018 | 3:21pm
PEMAIN Malaysia, Harith Naem Jaineh diasak pemain Jepun Asahi Yokohama pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

'Malaysia lawan paling liat'

KUALA LUMPUR: Di sebalik kekalahan 0-2 kepada Jepun sekali gus meranapkan impian ke Piala Dunia 2019 di Peru, namun setidak-tidaknya skuad negara bawah 16 (B-16) tahun negara menunjukkan perkembangan yang positif.

Hakikat itu diakui pengendali Jepun, Moriyama Yoshiro yang menyifatkan anak buah Lim Teong Kim sebagai pasukan lawan yang paling sukar untuk dihadapi sepanjang tiga aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Namun, kesabaran anak buahnya untuk merencana serangan membuahkan hasil selepas berjaya meledak satu gol pada setiap babak sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.

“Pemain Malaysia memiliki kepantasan khususnya pemain sayap dan mempunyai kemahiran teknikal yang baik. Jadi, kami berdepan kesukaran pada aksi hari ini.

“Walaupun tidak begitu memberi tekanan kepada pertahanan kami, mereka begitu berbahaya ketika serangan balas pantas. Jelas mereka membuat banyak kajian terhadap permainan kami.

“Apapun, saya berbangga dengan persembahan anak buah saya dan kemenangan ini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, skuad Samurai Biru itu mara ke suku akhir selepas menundukkan Malaysia 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus meranapkan impian skuad negara mara ke Peru.

Jepun yang meneruskan pemburuan gelaran buat kali ketiga menjuarai Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dua seri, diiringi Tajikistan selaku naib juara selepas mencipta kejutan menumbangkan Thailand 2-1 dalam satu lagi aksi di Arena Universiti Malaya (UM).

79 dibaca
Berita Harian X