Khamis, 27 September 2018 | 1:50pm
PEMAIN skuad B-16 Kebangsaan, Alif Daniel Abdul Aziz (kanan) bersaing dengan pemain Jepun, Kohshiro Sumi pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Lupakan saja Peru!

KUALA LUMPUR: Impian Malaysia layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2019 di Peru lebur selepas tumbang 0-2 di tangan Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Meskipun hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke suku akhir susulan kejayaan Tajikistan mengejutkan Thailand 2-1 pada satu lagi aksi di Arena Universiti Malaya, anak buah Lim Teong Kim gagal mengutip satu mata yang diperlukan sekali gus terpaksa akur kecundang di tanah air sendiri.

Lebih buruk, Malaysia yang dibarisi pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang disasarkan untuk mara ke kejohanan di Peru itu sekadar menamatkan saingan di tangga tercorot dengan hanya tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Tajikistan.

Apa yang menyedihkan, Tajikistan yang dibelasah Malaysia 6-2 pada aksi pertama pula mengiringi Jepun ke suku akhir selepas mengutip empat mata menerusi satu kemenangan dan satu seri sekali gus menyingkirkan Thailand.

Tiada percubaan berbahaya dapat disaksikan dalam tempoh 15 minit pertama meskipun Malaysia dilihat lebih banyak mengasak kubu pertahanan Jepun namun berjaya dipatahkan benteng lawan.


PEMAIN Malaysia, Muhammad Najmudin Akmal diasak pemain Jepun, Kohshiro Sumi pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-16 AFC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

PEMAIN Malaysia, Harith Naem Jaineh diasak pemain Jepun, Sako Maaya pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-16 AFC di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Percubaan tepat pertama anak buah Teong Kim hadir pada minit ke-18 menerusi rembatan Alif Mutalib tetapi tidak menggugat Taiki Yamada selepas percubaannya tepat ke dakapan penjaga gol Jepun itu.

Bagaimanapun, kesilapan pertahanan sekali lagi menghantui Malaysia apabila kegagalan mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti dihukum Shoji Toyama yang melepaskan satu rembatan kencang menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk gol pembukaan pada minit ke-36.

Belum sempat bangkit daripada kejutan gol pertama, benteng pertahanan Malaysia sekali lagi nyaris menghadiahkan gol kedua namun tindakan cemerlang Sikh berjaya menafikan hasrat Jepun untuk melebarkan jurang dua minit kemudian.

Bersambung babak kedua, rentak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan namun Jepun lebih banyak mencipta peluang untuk memburu gol kedua yang menyaksikan beberapa percubaan mereka berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan negara.

Malaysia tampak hilang punca pada babak kedua apabila tampil dengan persembahan jauh berbeza berbanding separuh masa pertama sekali gus memberi kesempatan kepada Jepun untuk menguasai permainan dan melancarkan serangan.

Ketika Malaysia cuba memburu gol penyamaan pada minit akhir, Jepun menamatkan impian pemain negara apabila percubaan jarak jauh Hikaru Naruoka singgah di palang namun melantun ke tubuh Sikh Izhan sebelum menerjah gawang.


PEMAIN skuad B-16 Kebangsaan kecewa selepas tewas kepada Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan A pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

20 dibaca
Berita Harian X