Rabu, 26 September 2018 | 8:45am
ATLETICO Madrid meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan. - Foto Reuters

Atletico temui rentak sebelum jumpa Real

MADRID: Atletico Madrid akhirnya menemui rentak dalam saingan La Liga menjelang pertemuan penting dengan Real Madrid, selepas pasukan itu memperoleh kemenangan 3-0 ke atas pasukan baru menyertai liga, Huesca.

Jika pada dua minggu lalu, Atletico berada tujuh mata di belakang Barcelona, kini semuanya berubah buat pasukan bimbingan Diego Simeone yang kembali di landasan selepas memperoleh tiga mata.

Ia adalah kemenangan rutin di Wanda Metropolitano, di mana Antoine Griezmann menjaringkan gol pada babak pertama dan kemudian Thomas Partey serta Koke menambah gol kedua dan ketiga bagi membantu Atletico mendaki ke kedudukan ketiga liga. Huesco tercicir ke tangga ke-18 liga.

“Pasukan ini kini semakin baik pada setiap perlawanan,” kata Simeone. “Ketika menentang Monaco adalah bagus, Getafe lebih bagus dan hari ini dengan persembahan mantap di babak pertama membolehkan kami untuk menjimatkan tenaga.”

Griezmann dan Diego Costa dikeluarkan ketika permainan berbaki setengah jam – senario yang diimpikan Simeone, terutama dengan Real Madrid mempunyai tempoh rehat kurang sehari menjelang perlawanan penting Sabtu ini di Santiago Bernabeu.

Misi Real mementang Sevilla di Ramon Sanchez Pizjuan hari ini juga dilihat sukar.

Nasib Huesca dalam kemunculan sulungnya di kancah liga tertinggi Sepanyol itu akan diputuskan pada perlawanan menentang pasukan di bawah Atletico, atau mungkin di laman sendiri di mana  Estadio El Alcoraz hanya boleh mememuatkan 7,000 penonton.

Ketika Atletico menjulang La Liga empat tahun lalu, Huesca menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Kumpulan Dua Segunda B, liga divisyen tiga Sepanyol. – AFP

 

Berita Harian X