Isnin, 24 September 2018 | 6:47pm
Penyerang Pasukan Malaysia U16, Luqman Hakim Shamsudin ketika sesi latihan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya. - Foto Aziah Azmee

Saya memang tak sengaja - Luqman

 

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad bawah 16 (B-16) negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak menjangka dilayangkan kad merah kerana tidak sengaja mengasari pemain Thailand pada aksi kedua Kumpulan A Kejohanan B-16 AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Malah, beliau mengakui menangis ketika diperintah keluar padang oleh pengadil, Omar Mohamed Ahmed Hassan pada minit ke-51 kerana menyedari rakan sepasukannya bakal berdepan tugas berat untuk bertahan dengan beraksi 10 pemain.

"Saya sedih kerana tidak dapat membantu pasukan. Memang saya tidak sengaja kerana ketika insiden itu saya melihat kepada bola dan tidak nampak pemain Thailand datang dari arah depan.

"Saya pun ingin memohon maaf kepada jurulatih (Lim Teong Kim) dan rakan sepasukan. Saya yakin kalau bermain dengan 11 pemain, kami mampu meraih keputusan lebih positif," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Ketiadaan Luqman menyaksikan Thailand berjaya mendapat dua gol dalam tempoh 25 minit terakhir, sekali gus meletakkan Malaysia dalam keadaan terpaksa wajib menang ke atas Jepun pada Rabu ini untuk layak ke suku akhir.

Malah, Teong Kim pada sidang media selepas perlawanan juga menganggap pengadil membunuh permainan anak buahnya dan Luqman tidak sepatutnya dilayangkan kad merah.

Ia adalah kad merah kedua berturut-turut diterima anak buah Teong Kim dalam kejohanan ini selepas penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman turut menerima nasib sama ketika berdepan Tajikistan pada aksi pertama, Khamis lalu.

Selain itu, Luqman berharap semua pemain dapat memberi fokus terbaik bagi menjayakan misi wajib menang ke atas Jepun nanti.

"Saya kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan untuk berdepan Jepun. Tapi kami mempunyai ramai pemain terbaik dan saya yakin rakan sepasukan mampu untuk menewaskan Jepun," katanya.

Berita Harian X