Isnin, 24 September 2018 | 6:25pm
Ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun Jepun, Yoshiro Moriyama.

Bukan strategi perangkap Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Tindakan ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun Jepun, Yoshiro Moriyama merehatkan lebih separuh tonggak utama berdepan Tajikistan tampak memakan diri ketika mereka boleh berada selangkah ke suku akhir jika menang pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Malaya, semalam.

Timbul juga persoalan adakah ia sebagai strategi dan persediaan awal Moriyama untuk memerangkap Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan B-16 AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.

Namun, Moriyama menafikan tindakannya itu sebagai strategi untuk berdepan Malaysia, sebaliknya mahu memberi pendedahan buat anak buahnya yang tidak beraksi ketika mereka menewaskan Thailand 5-2, Khamis lalu.

"Tujuan utama saya melakukan pertukaran pemain untuk perlawanan ini (berdepan Tajikistan) kerana mahu pemain lain juga dapat pengalaman beraksi di kejohanan ini.

"Malah, beberapa pemain juga tampak keletihan dan sebab itu saya tukar tujuh pemain yang beraksi pada perlawanan pertama (berdepan Thailand)," katanya pada sidang media selepas perlawanan dengan Tajikistan, semalam.

Keputusan seri tanpa jaringan dengan Tajikistan menyaksikan Jepun tidak boleh tewas kepada Malaysia sekiranya mereka mahu layak ke suku akhir.

Aksi menarik dilihat bakal disajikan pada perlawanan terakhir kumpulan itu selepas Malaysia wajib meraih kemenangan untuk layak susulan kekalahan 2-4 kepada Thailand, semalam.

Mengulas mengenai aksi dengan Tajikistan, Moriyama menjelaskan kegagalan anak buahnya menyudahkan beberapa peluang terhidang menjadi punca mereka gagal meraih mata penuh.

"Tajikistan beraksi dengan baik terutama di bahagian pertahanan. Ramai pemain mereka yang berada di kawasan penalti dan ia menyukarkan kami.

"Malah, pemain saya juga gagal bertindak lebih baik untuk menghasilkan gol. Jadi kami perlu menang ke atas Malaysia untuk muncul juara kumpulan," katanya.

Berita Harian X