Ahad, 23 September 2018 | 6:37pm
REAKSI Muhammad Firdaus Kaironnisam (kanan) selepas berjaya menjaringkan gol kedua ketika menentang Thailand pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
PENJAGA gol skuad B-16 kebangsaan, Abdul Alim Al Amri Ali (dua dari kanan) gagal menyelamatkan sepakan pemain Thailand, M Suphanat (kanan) pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
PEMAIN skuad B-16 kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin (jersi 10) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan penyamaan ketika menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia tempah laluan sukar

 

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara menempah laluan sukar untuk ke pusingan kalah mati apabila tewas 2-4 kepada Thailand pada aksi kedua Kumpulan A, Kejohanan B-16 AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 6-2 ke atas Tajikistan, Khamis lalu sementara Thailand yang tewas 2-5 kepada Jepun turut mengumpul jumlah mata yang sama.

Anak buah Lim Teong Kim terpaksa menentukan nasib mereka pada perlawanan terakhir kumpulan berdepan Jepun di gelanggang sama pada Rabu ini.

Malaysia yang memerlukan kemenangan untuk mendapatkan tiket awal ke pusingan kalah mati dikejutkan dengan jaringan ayam tambatan Thailand, Suphanat Mueanta seawal minit ketiga.

Namun kedudukan itu hanya bertahan sembilan minit apabila penjaring terbanyak skuad negara, Luqman Hakim Shamsudin menyamakan kedudukan selepas percubaannya dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Anuchid Taweesri.

Suphanat bagaimanapun kembali meletakkan Thailand di depan pada minit ke-21 selepas rembatan leretnya berjaya menewaskan penjaga gol negara, Abdul Alim Al Amri Ali buat kali kedua.


PEMAIN skuad B-16 Thailand, M Suphanat meraikan jaringan ketika menentang Malaysia pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

KETUA jurulatih skuad B- 16 kebangsaan, Lim Teong Kim (kiri) memberi arahan kepada anak buahnya selepas ketinggalan 1-2 kepada Thailand pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Hanya tiga minit bersambung babak kedua, Malaysia sekali lagi mengikat kedudukan menerusi jaringan jarak dekat Firdaus Kaironnisam yang menyudahkan hantaran Alif Mutalib.

Ketika ribuan penyokong Malaysia masih meraikan jaringan penyamaan itu, nasib malang menimpa skuad Teong Kim apabila Luqman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Omar Mohamed Ahmed Hassan pada minit ke-51 selepas mengasari pemain lawan.

Malah, kesempatan itu digunakan sepenuhnya Thailand untuk mencari gol ketiga dan usaha mereka berhasil apabila Waragon Thongbai tenang menyudahkan hantaran Thanarin Thumsen pada minit ke-67.

Tidak cukup dengan itu, Thailand menambah satu lagi gol pada minit ke-85 menerusi Apidet Janngam sekali gus mengesahkan kemenangan 4-2 skuad Gajah Perang.

14 dibaca
Berita Harian X