Sabtu, 22 September 2018 | 11:56pm
REAKSI pemain import Kelantan, Aktyiar Duishobekov selepas meledak gol pertama ketika menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi. - Foto SYAMSI SUHAIMI

Kelantan menang di laman sendiri

KOTA BHARU: Kelantan berjaya meraih kemenangan tipis apabila menewaskan Sabah 2-1 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, sebentar tadi.

Sabah terlebih dulu memperoleh peluang terbaik untuk mendahului pada minit kelima menerusi Odoljub Paunovic namun barisan pertahanan tuan rumah bijak mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Selang empat minit, Kelantan memperoleh peluang terbaik untuk berada di depan menerusi Mohamad Danial Ashraf Abdullah dan Shafiq Shaharudin pada minit ke-20 namun percubaannya sedikit tersasar walaupun penjaga gol, Rozaimie Rohim sudah tertewas.

Akhirnya, Kelantan memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-29 menerusi tandukan pemain import, Baktyiar Duishobekov hasil sepakan penjuru Nik Akif Syahiran Nik Mat. 

Pada minit ke-39 perlawanan sedikit tegang apabila beberapa terjahan keras oleh pemain  pasukan pelawat menyaksikan pemain Sabah, Randy Baruh dilayangkan kad merah.

Sabah berusaha mengasak kubu tuan rumah walaupun bermain dengan 10 pemain dan akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila memperoleh gol penyamaan pada minit ke-43 menerusi tandukan kencang Hamran Peter.

 

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Kelantan bangkit memberikan tekanan kepada pasukan Sabah, hasilnya mereka memperoleh sepakan penalti apabila pemain pertahanan Sabah, Alto Linus melakukan kekasaran terhadap Mohammad Imran Samso pada minit ke-44.

Sepakan penalti itu disempurnakan pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran untuk mendahului sekali lagi pelawat pada minit ke-45. 

Bersambung babak kedua, Kelantan memperkemaskan rentak dan mengasak jentera pertahanan Sabah yang diketuai Rawilson Batuil.

Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah membuat perubahan taktikal dengan mengeluarkan Danial Ashraf dan Shafiq dan memasukkan Cristiano Santos serta Nik Azli Nik Alias.

Pemain gantian, Cristiano hampir menambah koleksi gol tuan rumah apabila dua percubaannya pada minit ke-60 dan minit ke-64 berjaya diselamatkan Rozaimie. 

Sementara itu, penyerang import Sabah, Hector Ramos juga hampir berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke- 74 namun diselamatkan penjaga gol Kelantan, Faridzuean Kamaruddin.

Keputusan muktamad, Kelantan 2-1 Sabah.

11 dibaca
Berita Harian X