Sabtu, 22 September 2018 | 7:47pm
GAMBAR fail, Pemian Malaysia Cougars, Muhammad Hariz Mansor . - Foto Hasriyasyah Sabudin

Enggan hampakan rakyat Malaysia

KELANA JAYA: Kapten pasukan bawah 16 (B-16) negara, Muhammad Hariz Mansor enggan menghampakan harapan rakyat Malaysia yang mahu melihat mereka menundukkan pasukan gergasi Asia Tenggara, Thailand pada Kejohanan B-16 AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Malah, kemenangan ke atas skuad Gajah Perang itu bakal menyaksikan skuad Lim Teong Kim boleh menempah tiket awal ke pusingan kalah mati sekiranya Jepun berjaya menundukkan Tajikistan dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Justeru, Hariz menuntut rakan sepasukan untuk tidak mengulangi beberapa kesilapan mudah yang mereka lakukan ketika membenam Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan kumpulan, kelmarin.

"Sudah pasti rakyat Malaysia mahukan keputusan yang baik daripada kami. Mereka juga mengharapkan kami layak ke Piala Dunia B-17 tahun depan. Jadi kami perlu cuba lakukan yang terbaik.

"Kami sudah empat tahun berjuang dan berkorban untuk melakukan persiapan bagi memburu tiket ke Piala Dunia, jadi peluang ini tidak boleh disia-siakan.

"Thailand juga bukan pasukan mudah dan kami menghormati mereka. Apa yang penting kami perlu tampil dengan aksi lebih mantap dan kesilapan yang dilakukan ketika berdepan Tajikistan dijadikan sebagai pengajaran," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Kejohanan B-16 AFC menyediakan empat tiket automatik ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan dan skuad negara sekurang-kurangnya perlu mara ke separuh akhir jika mahu layak ke kejohanan tertinggi itu.

Malaysia yang kini mengungguli carta kumpulan dan berkongsi tiga mata dengan Jepun di tangga kedua yang mengalahkan Thailand 5-2 pada aksi pertama, kelmarin.

Selain itu, Hariz turut menjelaskan pasukannya akan turun tanpa tekanan untuk berdepan Thailand walaupun menggalas misi besar menundukkan mereka.

"Kami tiada tekanan, jurulatih pun hanya mahukan kami melakukan yang terbaik. Jadi, kami akan beraksi seperti biasa dengan mengambil serius setiap perlawanan," katanya.

Berita Harian X