Sabtu, 22 September 2018 | 3:38pm
SUPHANAT Mueanta.

Mueanta senjata utama Thailand

KUALA LUMPUR: Penyerang Buriram United, Suphanat Mueanta bakal menjadi ancaman utama buat Malaysia apabila berdepan Thailand dalam Kejohanan Bawah 16 (B-16) Tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Mueanta yang memegang rekod pemain termuda beraksi di liga utama Thailand sudah menyumbang satu gol ketika Thailand tewas 2-5 kepada Jepun pada aksi pertama Kumpulan A, kelmarin.

Jurulatih Thailand, Tongchai Rungreangleas menaruh keyakinan Mueanta mampu beraksi lebih baik bagi aksi berdepan Malaysia yang menyaksikan pasukannya sangat memerlukan kemenangan.

"Saya gembira dengan persembahan Mueanta walaupun dia hanya menjaringkan satu gol. Kadang-kadang rakan sepasukan gagal untuk memberikan lebih banyak bola kepadanya dan menyukarkan dia untuk menjaringkan gol.

"Tapi saya yakin dia dan barisan pemain yang lain akan bangkit pada aksi seterusnya (berdepan Malaysia)," kata Tongchai.

"Semua pemain beraksi dengan baik (ketika berdepan Jepun) dan jika aksi lebih mantap dapat dipamerkan untuk perlawanan seterusnya, saya fikir tiada masalah untuk kami meraih kemenangan."

Mueanta tampil sebagai pemain termuda di liga utama Thailand apabila diturunkan pada pertemuan Buriram United dengan Nakhon Ratchasima, April lalu di mana umurnya ketika itu 15 tahun, lapan bulan dan 22 hari.

Kehadiran Mueanta pasti menarik bagi perlawanan esok dengan skuad Lim Teong Kim turut memiliki penyerang berbisa, Luqman Hakim Shamsudin yang meledak empat gol buat Malaysia ketika menundukkan Tajikistan 6-2, kelmarin.

Mengulas mengenai peluang Thailand yang tidak boleh tewas di tangan Malaysia, Thongchai menjelaskan pasukannya memerlukan persiapan untuk menghadapi aksi getir esok bagi mengelak tersingkir awal.

"Kami sedar sukar untuk melepasi peringkat kumpulan ini. Tapi kami perlu layak ke peringkat seterusnya dan semua pemain juga tidak mahu pasukan ini tersingkir.

"Kami juga mengetahui kelebihan Malaysia, begitu juga Taikistan. Jadi, apa yang penting ketika ini adalah melakukan persiapan yang rapi untuk berdepan mereka," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X