Sabtu, 22 September 2018 | 12:30am
MAURICIO Pochettino - Foto Reuters

Mungkinkah Spurs terus dirundung malang?

KOLUM APA KATA EPL

Sepanjang beberapa minggu ini, Tottenham Hotspur melalui detik menyuramkan. Selain tewas dua kali berturut-turut saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), ia juga kecundang di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Entah di mana silapnya. Harry Kane dan rakan sepasukan seakan-akan sudah hilang sentuhan berbisa tatkala pesaing mereka terutama Liverpool dan Chelsea semakin menampakkan taring.

Selepas gah menjinakkan Newcastle United 2-1 pada aksi pembukaan liga, diikuti Fulham (3-1), Spurs bagai terus hilang arah. Mereka tewas mengejut kepada Watford, 1-2, sebelum diaibkan 1-2 Liverpool di laman sendiri.

Tottenham kelihatannya bakal bangkit pada saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini. Namun sebaliknya pula berlaku, apabila dikecewakan pula oleh Inter Milan, 1-2.

Keputusan ini jelas sangat mengecewakan pengendali pasukan, Mauricio Pochettino. Dia seakan-akan buntu mencari punca, ketika kapten pasukan, Kane juga seperti sudah hilang aura menjaringkan gol.

Minggu ini, Spurs akan berkunjung ke Stadium Amex bertemu tuan rumah, Brighton. Lawan mereka itu setakat ini hanya menang sekali dan dua kali seri selepas lima perlawanan.

Mampukah Pochettino yang kian tertekan melakukan kebangkitan lewat tengah malam ini atau akan terus gigit jari lagi. Inilah yang menarik untuk kita saksikan ketika bahang EPL sudah kian terasa.

Selain Spurs, satu lagi pasukan tentunya mahu melakukan kebangkitan minggu ini adalah Manchester City. Skuad bimbingan Pep Guardiola ini dikejutkan 1-2 oleh kelab Perancis, Lyon di laman sendiri saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu.

Ia bagaikan satu tamparan buat Guardiola yang sepanjang aksi berkenaan terpaksa duduk di bangku penonton gara-gara penggantungan. Musim ini selain pertahan liga, kejuaraan Eropah ini jadi idaman kelab berkenaan.

The Citizens malam ini berkunjung ke Stadium Cardiff bertemu Cardiff City dengan sasaran untuk mengubat kecewa sekali gus kembali mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Sementara itu, Liverpool yang gah menewaskan Neymar dan pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG) saingan Liga Juara-Juara sudah pasti membawa semangat itu apabila menyambut kunjungan Southampton malam ini.

Dengan Roberto Firmino kelihatan menyerlah berbanding Mohamed Salah di barisan depan, Jurgen Klopp sudah pasti memiliki ramuan untuk mengekalkan rentak kemenangan untuk terus berada puncak liga.

Namun kita tidak boleh menafikan kemungkinan The Saints boleh membuat kejutan di Anfield bagi meranapkan rekod cemerlang The Reds.

Liverpool yang setakat ini masih belum tewas daripada lima aksi. Begitu juga pendahulu liga, Chelsea. Kelmarin, The Blues menewaskan kelab Greece, Paok, 1-0 di pentas Liga Juara-Juara untuk terus menceriakan Maurizio Sarri. Minggu ini mereka bertemu West Ham yang rasanya tiada masalah untuk dijinakkan.

Sementara itu, Manchester United harus tiada masalah menjinakkan Wolves untuk mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan kelab Switzerland, Young Boys pada aksi Eropah. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini:

Fulham 1 Watford 3

Burnley 2 Bournemouth 1

Cardiff 1 Manchester City 5

Crystal Palace 1 Newcastle 1

Leicester 2 Huddersfield 2

Liverpool 2 Southampton 2

Man United 3 Wolves 1

Brighton 1 Tottenham 3

West Ham 1 Chelsea 3

Arsenal 3 Everton 1

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Berita Harian X