Jumaat, 21 September 2018 | 8:19am
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - EPA

Pochettino makin tertekan

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino akan bertandang ke Brighton bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok dengan penuh tekanan, susulan tiga kekalahan berturut-turut yang dialami pasukannya.

Rekod buruk itu adalah yang pertama dialami pengendali dari Argentina berkenaan dalam tempoh empat tahun, ketika ramai pihak mula meragui progres yang boleh dilakukan Pochettino musim ini.

Aksi mereka dalam kempen Liga Juara-Juara buat tiga musim berturut-turut bermula dengan langkah kiri apabila tewas kepada Inter Milan Rabu lalu, dan kekalahan di tangan Liverpool serta Watford mengakibatkan Spurs kini ketinggalan enam mata dengan pendahulu Liga Perdana. 

Semuanya serba tidak menjadi buat Pochettino – yang kurang sebulan lalu meraikan antara satu keputusan terbaik beliau bergelar pengurus Spurs apabila meraih kemenangan 3-0 di Manchester United.

“Sememangnya pemain akan mula cemas untuk memenangi perlawanan kerana ia perkara biasa apabila anda tidak menang, suasana dan tenaga berbeza,” kata Pochettino.

“Kadang kala ia bagus untuk merasai kekecewaan, kekalahan tetapi bukan hanya satu tetapi dua atau tiga kali.

“Selepas perlawanan dengan Manchester United, persepsi berubah sama sekali. Sekarang selepas tiga kekalahan, semua seperti berubah tetapi tidak menerusi kaca mata saya.”

Pochettino mula memberi petanda berdepan tekanan apabila beliau menyindir wartawan yang mempersoalkan tindakannya apabila tidak menurunkan Toby Alderweireld dan Kieran Trippier ketika pulang ke London.

Pemain antarabangsa Belgium dan England itu hanya dua daripada beberapa lagi pemain Spurs yang dilihat keletihan, termasuk penyerang, Harry Kane selepas kempen Piala Dunia tanpa rehat dan pemulihan yang betul pada pra musim.

Kegagalan Spurs untuk mendapatkan pemain barhau pada tempoh perpindahan musim panas lalu juga turut dibangkitkan.

“Ia mudah untuk menyalahkan mana-mana pihak, ia jalan mudah untuk lari daripada tanggungjawab,” kata Pochettino. -AFP

Berita Harian X