Khamis, 20 September 2018 | 7:24am
PEMAIN Lyon, Maxwel Cornet (kiri) diasak pemain Manchester City, Fabian Delph pada aksi pertama perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Lyon mudah dedah kelemahan City

MANCHESTER, United Kingdom: Pep Guardiola menyaksikan Manchester City ditimpa ‘malapetaka’ daripada tempat duduk penonton - apabila skuadnya tumbang 1-2 kepada Lyon dalam aksi pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Lyon dikenakan hukuman dilarang berada di tempat duduk pemain, selepas diperintahkan keluar padang pada suku akhir menentang Liverpool musim lalu,

Maxwel Cornet dan Nabil Fekir meledak gol untuk Lyon mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, sebelum Bernardo Silva kembali merapatkan jurang - namun sudah terlambat untuk mengelak City daripada menerima kekalahan pertama musim ini.

Selepas sedekad mengambil alih kelab, pemilik City kini meletakkan sasaran memburu trofi sulung Liga Juara-Juara sebagai keutamaan mereka.

Namun, peminat City perlu lebih banyak bersabar selepas menyaksikan skuad juara Liga Perdana itu beraksi cukup teruk, banyak melakukan kesilapan mudah dan hambar.

Sedangkan, Lyon hanya menang dua daripada lima perlawanan awal di saingan Ligue 1, Perancis musim ini, namun pelawat kelihatan mudah mendominasi perlawanan.

Cornet mudah membuka tirai jaringan apabila memperdayakan Ederson dan menolak bola masuk ke gawang kosong pada babak pertama, namun jaringan itu disahkan offsaid.

Selepas itu, tiada lagi perangkap offsaid yang menyelamatkan kelemahan benteng City.


PENJAGA gawang Lyon, Anthony Lopes menyelamatkan kubunya dari serangan pemain Manchester City, Gabriel Jesus (kanan). - Foto AFP

Fekir melakukan hantaran silang perlahan dan sepatutnya mudah dipintas Fabian Delph, namun pemain antarabangsa England itu gagal dan Cornet mengambil kesempatan untuk meledak gol mudah.

Dua minit sebelum rehat, pemain yang menjadi sasaran Liverpool, Fekir meledak daripada jarak 25 kaki untuk gol kedua pelawat.

Hukuman ke atas Guardiola juga menyaksikan dia tidak dibenarkan masuk ke bilik persalinan di waktu rehat dan Arteta yang mengambil alih tugas sementara jelas gagal memberi arahan berkesan.

Arteta yang terdesak masih enggan melakukan pertukaran di awal babak kedua walaupun memiliki pemain berkualiti, Leroy Sane, Sergio Aguero dan Riyad Mahrez di bangku simpanan.

Sane, Aguero yang dibawa masuk pada penghujung aksi memiliki beberapa peluang tetapi percubaan mereka tersasar. Selepas ini, City terpaksa bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam Kumpulan F. - AFP

Berita Harian X