Rabu, 19 September 2018 | 10:10am
MAURICIO Pochettino. - Foto AFP

Pochettino nafi silap percaturan

MILAN: Mauricio Pochettino mempertahankan keputusannya dalam pemilihan pemain selepas Tottenham Hotspur mengalami kekalahan 1-2 kepada Inter Milan dalam aksi pembukaan Kumpulan B Liga Juara-Juara di San Siro, pagi tadi.

Pemain pertahanan kanan England, Kieran Trippier dan pemain tengah Belgium, Toby Alderweireld tidak diturunkan atas alasan teknikal oleh Pochettino dengan Serge Aurier dan Davinson Sanchez diberi peluang beraksi.

Untuk tempoh 86 minit, mereka bermain baik dan Spurs selesa mempertahankan gol pendahuluan jaringan Christian Eriksen pada minit ke-53.

Bagaimanapun segala usaha mereka menjadi sia-sia apabila penyerang tuan rumah, Mauro Icardi melakukan voli untuk menyamakan kedudukan sebelum Matias Vecino menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-92.

Pada sidang media selepas perlawanan itu, keputusan Pochettino untuk bertandang ke Itali tanpa Trippier dan Alderweireld apatah lagi ketika Dele Alli dan penjaga gol, Hugo Lloris mengalami kecederaan menjadi pertikaian.

“Kenapa? Mereka bermain menentang Liverpool dan Watford. Jadi ia keputusan mudah untuk tidak menurunkan mereka,” kata Pochettino sebelum naik angin.

“Kita perlu bercakap mengenai bola sepak,” katanya. “Anda memaksa saya untuk menyatakan sesuatu yang tidak baik. Anda tidak menghormat pemain yang bermain hari ini.

“Anda boleh menyalahkan saya atas pemilihan kesebelasan pemain utama tapi jangan tidak menghormati pemain di dalam padang.”

Pochettino kini kalah tiga perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak mengambil alih Tottenham pada 2014, namun kekalahan di San Siro itu dianggapnya sebagai persembahan mereka terbaik musim ini.

“Saya gembira dengan persembahan pemain, kami mendominasi sehingga tamat perlawanan, tetapi keputusan agak kejam. Bagi saya ini adalah persembahan kami sejak permulaan musim,” katanya. – Reuters

 

29 dibaca
Berita Harian X