Rabu, 19 September 2018 | 8:48am
Lionel Messi. - Foto REUTERS

Messi ledak hatrik kelapan 

BARCELONA: Lionel Messi meledak hatrik kelapan dalam kancah Liga Juara-Juara selepas membantu Barcelona memulakan kempen dengan bergaya, menewaskan PSV Eindhoven 4-0 di laman sendiri meskipun pemain pertahanan Samuel Umtiti dibuang padang pada babak kedua.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab juara Sepanyol itu, Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-32, menerusi sepakan percuma lencong menembusi gawang PSV yang berjaya bertahan dengan baik dan berbahaya ketika melakukan serangan balas.

Namun, Barca mempamerkan kelas tersendiri pada separuh masa kedua apabila menggandakan jaringan pada minit ke-75, hasil rembatan penyerang Perancis, Ousmane Dembele yang meledak gol kelima daripada enam perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Messi menghasilkan gol kedua peribadi dua minit kemudian, apabila dia menolak masuk bola hantaran Ivan Rakitic.

Bagaimanapun kegembiraan itu sedikit terjejas apabila pemain pertahanan Barca, Umtiti dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-79, sebelum Messi melengkapkan hatrik tiga minit sebelum permainan tamat.

Jaringan Messi itu melengkapkan rekod lapan hatrik di kejohanan elit Eropah, mengatasi musuhnya, Cristiano Ronaldo (7) yang akan membuat penampilan pertama Liga Juara-Juara bersama Juventus, awal pagi esok.

Menurut jurulatih Barca, Ernesto Valverde kehebatan Messi sememangnya sukar ditandingi.

“Messi melakukan perkara luar biasa namun dia melakukannya dengan mudah,” katanya kepada pemberita.

“Kami perlu sedar bahawa kami berada dalam era cukup unik. Apabila dia (Messi) bersara daripada bermain bola sepak, ia pasti sukar untuk mencari pengganti sepertinya.

Jurulatih PSV yang juga bekas pemain tengah Barca dan Belanda, Mark van Bommel turut memberi pujian kepada pemain terbaik dunia lima kali itu meskipun menganggap pasukan tuan rumah tidak seharusnya mendapat gol pertama menerusi sepakan percuma.

“Saya tidak fikir kami melakukan kesalahan untuk pengadil memberikan sepakan percuma. Bagi saya dia adalah pemain terbaik dunia dan agak pelik dia tidak menang anugerah Ballon d’Or setiap tahun.

“Namun secara keseluruhan, saya fikir kami tidak sepatutnya tewas dengan jaringan besar ini.” – Reuters

 

Berita Harian X