Rabu, 19 September 2018 | 8:30am
CARLO Ancelotti. - Foto AFP

Napoli tak cukup tuah – Ancelotti

BELGRADE: Bekas juara Piala Europa, Red Star Belgrade mengikat kelab kendalian Carlo Ancelotti, Napoli 0-0 pada penampilan pertama pasukan itu dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Lorenzo Insigne menggegarkan palang gol pada babak pertama buat Napoli, manakala pertahanan Red Star, Milan Rodic menafikan percubaan Jose Callejon dalam aksi Kumpulan C itu. 

Penjaga gol tuan rumah, Milan Borjan juga membuktikan kemampuannya dengan mengekang percubaan pemain kebangsaan Poland, Arkadiusz Milik tatkala percubaan terbaik Red Star muncul menerusi Richmond Boakye pada penghujung permainan.

“Kami tidak melakukan banyak kesilapan, kami mengawal permainan tetapi kurang daripada sudut penyudah,” kata Ancelotti yang mengambil tugas di Napoli pada musim panas lalu. 

“Sukar untuk bermain menentang pasukan yang menerapkan corak bertahan seperti Red Star. Penyerang kami beberapa kali keseorangan di depan penjaga gol, tetapi kami tidak memiliki tuah. Saya fikir kami mampu menang.”

Kali terakhir Red Star muncul dalam saingan kelab elit perdana adalah pada 1991-92, satu musim selepas mereka menewaskan Marseille di final menerusi penentuan penalti di Bari untuk menjulang trofi berkenaan.

Red Star dijadual berkunjung ke Paris Saint-Germain (PSG)- sebuah kelab yang dikalahkan Liverpool 3-2 - pada perlawanan seterusnya 3 Oktober ini, manakala Napoli melayan kunjungan anak buah Jurgen Klopp di Itali. - AFP

 

Berita Harian X