Selasa, 18 September 2018 | 11:35am
PASUKAN Napoli ketika sesi latihan bersama jurulatihnya Carlo Ancelotti (tengah). - Foto AFP

Napoli tak mahu pandang rendah Red Star

BELGRADE: Napoli akan mengambil sikap berwaspada dengan pasukan bukan pilihan dalam Liga Juara-Juara, Red Star Belgrade pada kunjungan mereka ke laman juara Piala Eropah 1991 itu, awal pagi esok.

Bercakap mengenai aksi pembukaan Kumpulan C itu, jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti berkata, dengan dua pasukan lain - Liverpool dan Paris Saint-Germain turut berada dalam kumpulan - mereka tidak boleh sama sekali tergelincir daripada saingan.

“Ia satu kumpulan yang amat sukar dan mustahak buat kami meraih permulaan baik kerana anda tahu bagaimana sukarnya berkunjung ke laman lawan di sini,” katanya.

“Kami juga sedar Red Star bermain dengan amat baik dalam Liga Europa musim lalu dan menguasai liga Serbia, maka kami akan mengharungi saingan dengan penuh hormat ke atas mereka.

“Kami mahu beraksi dengan baik dalam Liga Juara-Juara musim ini kerana ia satu pertandingan yang hebat dan saya tahu begitu teruja dengan atmosfera di Belgrade.”

Red Star hadir dengan berbekalkan kemenangan 6-0 dalam liga Serbia ke atas pasukan yang beraksi dengan 10 pemain Radnik Surdulica, Sabtu lalu untuk meneruskan rentak sempurna mereka kepada tujuh kemenangan, menyingkirkan Salzburg dengan gol di tempat lawan untuk mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Meskipun ramai pemain kini berbeza daripada generasi yang menjulang Piala Eropah sebelum ini, jurulatih Red Star, Vladan Milojevic yakin anak buahnya mampu memberi laluan sukar buat pasukan ternama Eropah.

“Kami tidak berada di sini sebagai pencukup bilangan dan menyertai semua perlawanan menentang pasukan terbaik Eropah tanpa sebarang tekanan,” katanya.

“Kami tahu siapa yang akan kami temui tapi kami sudah berada sejauh ini dan tidak mahu berhenti di sini. Dengan semuanya menghormati Napoli, kami tidak gentar dengan sesiapa dan penyokong mampu memberikan daya sokongan kepada kami.”

Hanya kira-kira 1,000 penyokong Napoli dijangka berada di Stadium Rajko Mitic yang mempunyai kapasiti 55,000. - Reuters

Berita Harian X