Isnin, 17 September 2018 | 11:36pm
ANTOINE Griezmann - Foto AFP

Griezmann belum boleh terima hakikat

MADRID: Bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann menjelaskan dia masih tidak mengerti kenapa tidak disenaraikan sebagai seorang daripada tiga pemain terbaik dunia oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dia bagaimanapun berharap dapat memenangi anugerah Ballon d'Or ‘lebih berprestij’ yang boleh dinikmati dengan lebih baik. 

“Ia anugerah daripada FIFA dan nampak menyedihkan apabila tiada pemenang Piala Dunia disenaraikan,” kata Griezmann yang membantu Perancis merangkul kejuaraan Piala Dunia di Russia pada musim panas kepada akhbar sukan harian Sepanyol, AS.

Bintang Portugal, Ronaldo, finalis Piala Dunia dari Croatia, Luka Modric dan penyerang Mesir Mohamed Salah yang menikmati kempen cemerlang bersama Liverpool musim lalu menjadi tiga pemain disenaraikan FIFA untuk anugerah utama badan bola sepak dunia itu.

Bagi Griezmann, yang membantu Atletico muncul juara Liga Europa serta memainkan peranan penting dalam kejayaan Perancis di Piala Dunia, pilihan FIFA adalah tidak wajar.

“Kami mempunyai kempen yang benar-benar terbaik di Piala Dunia, keseluruhan pasukan berhak menerima anugerah: (Kylian) Mbappe, (Raphael) Varane, (N'Golo) Kante, yang mempamerkan aksi menakjubkan di Piala Dunia walaupun mereka tidak bercakap mengenainya, atau saya sendiri.

“Saya fikir Ballon d'Or lebih berprestij, satu sejarah yang hebat.”

Ditanya adakah dia selesa ‘berada dalam senarai sama dengan bintang bola sepak’ seperti pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi dan Ronaldo, Griezmann berkata: “Ya, saya fikir begitu, walaupun pemain lain juga berada di sana.

“Saya menikmati kedudukan ini, walaupun saya tahu saya boleh melakukan lebih baik.

“Saya berada di puncak tetapi saya tahu saya boleh meningkatkan lagi prestasi, saya mahu menjadi pemain yang paling sempurna.” - AFP

106 dibaca
Berita Harian X