Sabtu, 15 September 2018 | 2:00am
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) bersama Pengurus Spurs, Mauricio Pochetino.

KOLUM APA KATA EPL: Spurs bakal sujud kepada Liverpool?

Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali selepas hampir dua minggu berehat bagi memberi laluan kepada Liga Negara-Negara Eropah dan aksi persahabatan antarabangsa.

Minggu ini tumpuan aksi pastinya membabitkan pertemuan antara pendahulu liga, Liverpool dan Tottenham Horspur di Stadium Wembley jam 7.30 malam ini.

Kedua-dua pasukan ini mempunyai ramai penyokong di Malaysia. Ia sudah pasti perlawanan dinantikan terutama kalangan Kopites yang kini makin mendabik dada dengan prestasi barisan Jurgen Klopp.

Sebelum pertemuan di laman sementara Spurs itu, Liverpool gah menduduki tangga teratas EPL dengan maksiumun 12 mata menerusi empat aksi. Spurs yang dibimbing Mauricio Pochetino pula ketika ini di tangga kelima dengan sembilan mata.

Melihat kepada prestasi semasa The Reds, sudah pasti jadi pilihan untuk menang aksi ini, tatkala ia juga jadi ujian getir buat mereka dalam mengharungi cabaran musim ini.

Mungkin ramai yang masih ingat kira-kira 11 bulan lalu, betapa Liverpool diaibkan oleh Spurs di laman sama dengan keputusan 4-1. Kekalahan itu menyaksikan mereka terjatuh ke tangga ke-11, sekali gus meletakkan Klopp tertekan dan penyokong mereka hilang sabar.

Rupanya, kekalahan itu memberi hikmah besar. Sejak itu, Liverpool tidak menoleh lagi apabila mencatat 10 kemenangan dan empat seri daripada 14 aksi untuk kebangkitan luar biasa.

Ditambah lagi dengan pembelian pertahanan,Virgil van Dijk, The Reds terus menyerlah di Eropah dan EPL. Untuk aksi malam ini, mampukah Liverpool menebus dendam mereka itu.

Penulis percaya mereka mampu. Ditambah barisan terbaik bakal diturunkan termasuk trio Brazil - Roberto Firmino, Fabinho dan Alisson selain prestasi Mohamed Salah dan Sadio Mane yang menyerlah pada aksi antarabangsa, Klopp tiada sebab untuk gagal lagi.

Dan buat Spurs sendiri yang dikejutkan oleh Watford dua minggu lalu, mereka harus waspada tanpa khidmat Dele Alli dan Hugo Lloris akibat cedera selain kemungkinan kapten England, Harry Kane.

Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada kunjungan Manchester United ke Watford berikutan spekulasi yang menyelubungi pengendalinya, Jose Mourinho.

Lagi sekali United harus memenangi aksi ini jika Mourinho ingin terus kekal di Old Trafford. Awal minggu ini, Zinedine Zidane menyatakan secara terbuka dia akan kembali melatih dalam tempoh terdekat.

Biarpun tidak menyatakan majikan barunya, ia dikaitkan dengan United. Adakah akan berlaku perubahan di Old Trafford minggu depan tatkala Watford setakat tidak pernah tewas dalam semua aksi? Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Tottenham 1 Liverpool 3
Man City 4 Fulham 1
Bournemouth 2 Leicester 0
Newcastle 1 Arsenal 3
Huddersfield 1 Crystal Palace 1
Chelsea 3 Cardiff 0
Watford 1 Man United 1
Wolves 1 Burnley 2
Everton 2 West Ham 1
Southampton 2 Brighton 1

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP.

14 dibaca
Berita Harian X